All News

SOE DAN PSU KUKUH HUBUNGAN MELALUI PROGRAM MOBILITI

Program Mobility

UUM ONLINE: Universiti Utara Malaysia (UUM) menerusi Pusat Pengajian Pendidikan (SOE) dan Prince of Songkla University (PSU) terus memperkukuhkan hubungan akademik dan budaya melalui program mobiliti tidak berkredit yang berlangsung selama 14 hari bermula 19 November hingga 12 Disember 2024.

Program ini melibatkan 24 pelajar UUM, termasuk pelajar pascasiswazah dan prasiswazah, serta 18 pelajar PSU yang aktif mengambil bahagian.

Dekan SOE, Prof. Madya Dr. Khairi Othman berkata, pelaksanaan program ini membuktikan komitmen kedua-dua institusi dalam membentuk generasi pelajar yang lebih cemerlang dan berdaya saing di peringkat antarabangsa.

Program Mobility2 jpg

Menurutnya, program ini merangkumi aktiviti fizikal selama tiga hari dua malam di Pattani dan Hatyai, diikuti dengan aktiviti secara atas talian.

“Sesi fizikal yang berlangsung dari 27 November hingga 30 November 2024 berjalan lancar walaupun terdapat cabaran seperti hujan lebat berterusan yang menyebabkan banjir di beberapa kawasan.

“Lokasi utama lawatan termasuk kampus PSU di Pattani, Bamrung Islamic School di Pattani, serta beberapa destinasi di Hatyai seperti Kaysorn, Central Hatyai, dan Makro. Lawatan ini memberi peluang kepada peserta untuk mendalami elemen keusahawanan melalui pengalaman praktikal di tempat-tempat strategik,” katanya.

Program Mobility3 jpg

Selain itu, aktiviti atas talian turut memberi impak yang signifikan kepada peserta. Antara program yang dilaksanakan adalah pertukaran budaya (cultural exchange) dan pembelajaran bahasa bersama PSU. Aktiviti ini tidak hanya memperkaya pengetahuan peserta tentang budaya kedua-dua negara tetapi juga meningkatkan kemahiran komunikasi antara budaya yang penting dalam dunia global masa kini. Kerjasama erat antara UUM dan PSU sepanjang program ini menjadi pemangkin kepada kejayaan pelaksanaan aktiviti secara maya dan fizikal.


Program yang berlangsung selama hampir dua minggu ini bertujuan untuk memperluas wawasan pelajar tentang budaya, akademik, dan keusahawanan di peringkat antarabangsa.

Dr. Khairi berkata, inisiatif ini juga berfungsi sebagai platform untuk membina rangkaian profesional antara pelajar kedua-dua universiti.

Program Mobility4 jpg

"Kami amat berterima kasih atas sokongan dan kerjasama yang diberikan oleh PSU. Kejayaan program ini membuktikan bahawa walaupun terdapat kekangan seperti cuaca buruk, semangat dan komitmen semua pihak mampu memastikan kelangsungan aktiviti,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Madya Dr. Mardzelah Makhsin yang juga pengerusi program turut menyatakan bahawa objektif utama program ini adalah untuk memperkasakan pelajar dengan pengalaman antarabangsa, memupuk pemahaman budaya, dan meningkatkan daya saing global pelajar.


Menurutnya, melalui program ini, pelajar bukan sahaja memperoleh pengalaman antarabangsa tetapi juga didedahkan kepada cara pemikiran baru yang boleh meningkatkan kemahiran insaniah mereka.

Katanya, inisiatif sebegini selari dengan usaha UUM untuk melahirkan graduan yang holistik dan kompeten, sejajar dengan visi universiti untuk menjadi institusi pengurusan terkemuka di peringkat global menjelang 2030.