SINTOK, 18 Disember 2024: Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA-UUM) telah menerima kunjungan dari Ho Chi Minh City Open University (HCMCOU), Vietnam yang diketuai oleh Prof. Dr. Ho Huy Thuy, Dekan Fakulti Perakaunan dan Pengauditan.
Kunjungan ini bertujuan untuk untuk membina hubungan kerjasama dan bertukar Memorandum Persefahaman (MoU). Prof. Dr. Ram Al Jaffri, Dekan TISSA-UUM, mengalu-alukan kedatangan delegasi dan memimpin sesi perbincangan antara kedua-dua pihak.
Lawatan ini menandakan peristiwa penting dalam memupuk kerjasama antarabangsa antara kedua-dua institusi.
Semasa perbincangan, kedua-dua pihak menyatakan komitmen yang kuat untuk meneroka peluang dalam program pertukaran pelajar dan pensyarah, perkongsian pengetahuan dalam perakaunan kewangan antarabangsa dan percukaian, dan penganjuran persidangan antarabangsa.
Usaha ini bertujuan untuk meningkatkan kecemerlangan akademik dan memberi impak yang positif kepada kedua-dua institusi selain pertukaran budaya antara Malaysia dan Vietnam.
Delegasi kemudiannya dibawa melawat dan meneroka sekitar kampus. Prof. Dr. Ho Huy Thuy melahirkan rasa kagum dengan kemudahan terkini dan pencapaian luar biasa UUM dalam tempoh hanya 40 tahun selepas penubuhannya.
Beliau yakin dengan komitmen UUM terhadap inovasi dan kecemerlangan, mampu menjadikan kerjasama antara UUM dan HCMCOU lebih bermakna dan produktif.
Lawatan delegasi HCMCOU ke TISSA-UUM telah berjaya menonjolkan peranan penting perkongsian antarabangsa dalam memupuk kecemerlangan akademik dan inovasi. Kerjasama ini dijangka menghasilkan manfaat bersama dan meningkatkan reputasi global kedua-dua institusi pada masa hadapan.