All News

PERBINCANGAN PELUANG KOLABORASI ANTARA UUM DAN UNIVERSITI CONCORDIA, KANADA

Perbincangan Kolaborasi

KAJANG, 18 Disember 2024: Pusat Inovasi dan Pengkomersialan (ICC), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengadakan sesi perbincangan bersejarah mengenai potensi kolaborasi strategik bersama Universiti Concordia, Kanada.

Perbincangan berlangsung di Royal Park Hotel, UNITEN dan dipengerusikan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Russayani Ismail.


Delegasi

Delegasi UUM terdiri daripada pasukan ICC yang diketuai oleh Pengarah ICC, Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Faizal Omar bersama Timbalan Pengarah ICC, Prof. Madya Dr. Ani Munirah Mohamad, Penyelaras ICC, Dr. Mohd Aamir Adeeb, serta Pegawai Pemindahan Teknologi ICC, Khairil Azfar Ahmad Zubir, manakala Universiti Concordia pula diwakili oleh Prof. Dr. William Cheaib, Prof. Dr. Marius Paraschivoiu dan Prof. Dr. Carole El Ayoubi.

Perbincangan tertumpu pada beberapa bidang utama yang berpotensi memperkukuhkan hubungan akademik,penyelidikan dan inovasi antara kedua-dua institusi. Antara fokus utama termasuk usaha meningkatkan mobiliti pelajar dan pensyarah, dengan objektif memperkayakan pengalaman akademik melalui program pertukaran dan kolaborasi dalam pengajaran dan pembelajaran.

Selain itu, potensi kerjasama dalam bidangpenyelidikan dan inovasi turut diberi perhatian. Kedua-dua universiti berhasrat untuk menjalankan projek penyelidikan bersama yang mampu memanfaatkan kepakaran pelbagai disiplin ilmu yang dimiliki, sekali gus menyumbang kepada inovasi global.

Sesi ini mencerminkan komitmen bersama UUM dan Universiti Concordia dalam memperkukuhkan jaringan akademik serta memperkasa hubungan antarabangsa dalam bidang pendidikan dan penyelidikan.

Perbincangan ini diharapkan menjadi langkah awal ke arah kerjasama yang lebih kukuh dan saling menguntungkan antara kedua-dua institusi terkemuka ini. – Khairul Azfar Ahmad Zubir