SINTOK, 16 Disember 2024: Seramai 42 delegasi dari Universitas Hasanuddin (UNHAS), Indonesia mengadakan lawatan ke Universiti Utara Malaysia (UUM) yang terdiri daripada 21 staf dan 21 pelajar.
Delegasi ini diketuai oleh Dekan Fakulti Ekonomi dan Bisnis (FEB), Prof. Dr. Abdul Rahman Kadir. Lawatan ini menandakan satu lagi langkah penting dalam usaha memperkukuhkan hubungan antara kedua-dua institusi yang telah lama terjalin.
Salah satu agenda utama pertemuan ini adalah untuk memperkukuhkan kerjasama akademik dan profesional antara UNHAS dan Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan, dan Perbankan (SEFB) UUM.
Dalam perbincangan tersebut, pihak UNHAS turut menyatakan minat mendalam untuk menyertai program Global Executive Training anjuran SEFB yang diadakan di Malaysia dan Jepun. Namun, Dekan FEB UNHAS, mencadangkan agar modul Wealth Management dan Risk Management dimasukkan ke dalam program tersebut bagi memenuhi keperluan pendidikan mereka.
Selain mesyuarat dua hala bersama pihak pengurusan SEFB, delegasi UNHAS turut di bawa melawat beberapa lokasi penting di kampus seperti Perpustakaan Sultanah Bahiyah dan U-Assist. Lawatan ini bertujuan untuk memberi gambaran menyeluruh mengenai kemudahan dan infrastruktur di UUM yang menyokong pembelajaran dan penyelidikan.
Dekan SEFB, Prof. Madya Dr. Bakti Hasan Basri, menyatakan rasa bangga dan berbesar hati atas lawatan ini. Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada pihak UNHAS kerana memilih SEFB sebagai destinasi lawatan mereka, sekali gus memperkukuh hubungan dua hala yang sedia terjalin.
“Kerjasama ini membuka ruang baharu untuk pertukaran pengetahuan dan pengalaman antara kedua-dua pihak. Kami berharap hubungan ini dapat terus diperkukuh melalui pelbagai program akademik dan profesional di masa hadapan,” katanya.
Terdahulu, Naib Canselor UUM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan, turut meraikan kehadiran delegasi UNHAS dalam Majlis Makan Tengah Hari Muhibah yang diadakan di Restoran Tasik UUM.
Majlis ini menjadi medan untuk mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara kedua-dua institusi dalam suasana penuh mesra.
Lawatan ini bukan sahaja mencerminkan komitmen kedua-dua universiti dalam meningkatkan kerjasama pendidikan, tetapi juga sebagai platform untuk membina hubungan strategik yang lebih erat pada masa hadapan. Dengan visi bersama dalam pendidikan, UUM dan UNHAS bersedia untuk melangkah ke tahap yang lebih tinggi demi manfaat bersama.