15 DISEMBER 2024 / 13 JAMADILAKHIR 1446H
=====================================
Berita dan Gambar oleh: Mohammad Noor Azamuddin bin Mustakim dan
Syakir Zafayri bin Abu Bakar (Pelajar Praktikum UUM)
HEPA ONLINE: Seramai lima pensyarah dan 35 pelajar dari Thaksin University, Thailand telah mengadakan lawatan rasmi ke U-Assist, Universiti Utara Malaysia (UUM) baru-baru ini.
Delegasi tersebut diketuai oleh Dekan, Management for Development College,Prof. Madya Dr. Thuanthong Krutchon yang juga merupakan Penolong Profesor dalam bidang Pentadbiran Awam.
Dr. Thuanthong menyatakan bahawa tujuan utama lawatan ini adalah untuk mempelajari lebih mendalam mengenai sistem perkhidmatan pendidikan yang dilaksanakan di UUM, khususnya dalam pengurusan dan penyediaan perkhidmatan kepada pelajar, kakitangan akademik serta pihak luar.
“Lawatan ini merupakan peluang yang sangat berharga untuk pihak Thaksin University memahami bagaimana UUM mengatur dan menyampaikan perkhidmatan kepada pelajar,” ujar Dr. Thuanthong.
Beliau turut menyatakan bahawa konsep perkhidmatan sehenti atau One Stop Centre (OSC) yang diamalkan di U-Assist memberi inspirasi kepada Thaksin University untuk mengadaptasi pendekatan yang serupa.
“U-Assist merupakan contoh yang terbaik bagi konsep perkhidmatan sehenti yang memberi manfaat kepada pelajar dan pelanggan.
“Ia adalah satu idea yang sangat baik bagi kami untuk belajar dan merancang masa depan walaupun konsep ini asalnya hanya teori, UUM telah berjaya menterjemahkannya ke dalam bentuk amalan yang sebenar.
“Ini adalah peluang yang sangat baik bagi kami untuk mempelajari cara untuk melaksanakan teori tersebut dalam bentuk praktikal,” ujar Dr. Thuanthong.
Taklimat ringkas tentang peranan serta perkhidmatan-perkhidmatan kaunter yang menyantuni urusan pelajar dalam akademik, kewangan, kesejahteraan pelajar juga pengurusan visa bagi pelajar antarabangsa telah diberikan oleh Pengarah U-Assist, Suraya Deraman.
Kesemua mereka diberikan peluang untuk melihat dengan lebih dekat operasi harian di kaunter U-Assist, yang berfungsi sebagai pusat sehenti bagi perkhidmatan pelajar di UUM.
Sesi lawatan ini adalah di bawah tadbir urus Pusat Pengajian Pengurusan Pelancongan, Hospitaliti dan Acara (STHEM), UUM.