HO CHI MINH, 14 Disember 2024: Delegasi Universiti Utara Malaysia (UUM) yang diwakili oleh Pusat Inovasi dan Pengkomersialan (ICC) telah menghadiri Mesyuarat Tahunan Asean University Network (AUN)-University Innovation and Entrepreneurship (UIE) kali kelima yang diadakan di Ho Chi Minh University of Technology (HCMUT).
Ini merupakan kali pertama UUM menyertai mesyuarat ini yang memfokuskan kepada pemerkasaan inovasi dan keusahawanan dalam kalangan pelajar universiti.
Mesyuarat ini dipengerusikan oleh Timbalan Pengarah Eksekutif AUN, Dr. Thanapan Laiprakobsup dan dibantu oleh Timbalan Presiden, Perkongsian & Hubungan, Singapore Management University (SMU), Prof. Dr. Sun Sun Lim.
Mesyuarat ini disertai oleh wakil-wakil Universiti negara ASEAN seperti Brunei, Thailand, Singapura, Filipina dan Vietnam. Penyertaan UUM diwakili oleh Timbalan Pengarah (Inovasi), ICC iaitu Prof. Madya Dr. Ani Munirah Mohamad dan Felo ICC, Dr. Khofizhoah Mohd Karim dari Pusat Pengajian Kerajaan (SOG).
Mesyuarat ini dimulakan dengan perkenalan oleh wakil Universiti dan aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan di universiti termasuklah berkaitan Start-Up pelajar dan staf. Beberapa universiti berkongsi tentang penubuhan Start-Up pelajar dan staf yang berjaya dan mampu bertahan sehingga ke hari ini.
Selain itu, mesyuarat ini juga diadakan secara perbincangan meja bulat yang mengupas isu inovasi dan keusahawanan pelajar dalam konteks pementoran, penyediaan dana dan pengantarabangsaan.
Perbincangan penting yang dihasilkan akan dibawa ke peringkat lebih tinggi untuk dibincangkan dan dilaksanakan. Apa yang menarik perhatian dalam perkongsian aktiviti ialah aktiviti InnoDating oleh universiti yang mampu menghasilkan idea-idea inovasi baharu dalam kalangan pelajar dan pensyarah Universiti.
Dr. Thanapan berkata, beliau sangat berbangga kerana mesyuarat kali ini disertai oleh pelbagai latar belakang universiti di negara ASEAN dan berharap supaya penganjuran mesyuarat akan datang akan melibatkan lebih ramai wakil universiti.
Wakil dari Universiti Brunei Darussalam, Dr. Annie Dayani Abdullah Ahad berkata, beliau sangat tertarik dengan perbincangan yang diadakan kerana ia melibatkan perkongsian aktiviti di setiap universiti yang boleh dipraktiskan di tempatnya kelak.
Selain daripada itu, mesyuarat ini turut diselitkan dengan program The University-Industry Linkage Seminar bertajuk Empowering Skills for Efficiency and Equity in the Labor Market. Seminar ini merupakan platform perkongsian pengalaman dalam meningkatkan hubungan Universiti-Industri dan membuka ruang untuk mewujudkan kerjasama antara kedua-dua pihak.
Peserta seminar ini terdiri daripada profesor universiti, agensi kerajaan, industri tempatan dan antarabangsa serta wakil-wakil Universiti di Vietnam berpendapat bahawa seminar ini merupakan peluang berharga untuk menyuarakan pendapat dan pandangan tentang bakat dan kemahiran pelajar Universiti yang diperlukan oleh pasaran kerja.
Perjumpaan wakil UUM bersama wakil dari universiti ASEAN membuka peluang kepada UUM untuk menyertai lebih banyak program AUN di bawah 19 tema yang lain. Pada masa kini, UUM merupakan sekretariat untuk AUN-SAN (Student Affairs Network) dan ini merupakan pengiktirafan kepada UUM untuk memperkasa dan membangunkan pelajar universiti untuk menjadi pemimpin masa hadapan. – Dr. Khofizhoah Mohd Karim