UUM ONLINE: Pusat Pengajian Pengurusan Pelancongan, Hospitaliti dan Acara (STHEM) dengan kerjasama Inapan Siswa Bank Islam, Universiti Utara Malaysia (UUM) telah melaksanakan program mobilti tidak berkredit ke Songkhla Rajabhat University (SKRU) dan Hatyai University di Thailand, baru-baru ini.
Program ini merupakan inisiatif bersama di antara STHEM dengan INASIS Bank Islam sebagai satu usaha untuk meneroka jalinan kerjasama di antara kedua pusat pengajian tinggi di masa akan datang.
Delegasi yang diketuai oleh Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) STHEM, Dr. Muhammad Fauzi Mokhtar dan turut disertai oleh Prof. Madya Dr. Basri Rashid, Prof. Madya Dr. Ts. Shanusi Ahmad, Dr. Hasan Mohamed Zakaria, Norhafizi Nordin, Siti Aminah Hasbullah dan Mohamad Wassem bersama 22 pelajar STHEM telah disambut oleh Ketua Unit Hal Ehwal Antarabangsa dan Jabatan Pemasaran, Prof. Madya Dr. Chadchom Ratsameemonthon.
Dr. Muhammad Fauzi berkata, mereka telah mengadakan perbincangan di antara para pensyarah UUM dengan pihak pengurusan pihak Songkhla Rajabhat University (SKRU) dan Hatyai University.
Menurutnya, antara aktiviti yang diadakan adalah ceramah berkaitan Community Based Tourism (CBT) yang disampaikan oleh tenaga pengajar pelancongan universiti berkenaan selain dari lawatan ke muzium universiti untuk memahami lebih lanjut tentang sejarah dan latar belakang bandar Songkhla dan Hatyai.
Rombongan UUM turut mengadakan satu program CSR mengutip sampah di pantai Samila, Songkhla bagi menyedarkan peserta dan juga pengunjung tentang kepentingan menjaga kebersihan.
Hasil program ini sangat positif dan diharapkan program yang ditawarkan oleh STHEM akan terus berkembang dan memberi manfaat kepada semua pelajar dan pensyarah STHEM.