All News

FELO IETLE HARUMKAN NAMA UUM DI GUIZHOU, CHINA

Felo

GUIZHOU, 4 Disember 2024: Tiga felo dari Institute of Excellent Teachers and Leaders in Education (IETLE) dan Pusat Pengajian Pendidikan, Universiti Utara Malaysia (UUM) telah diundang ke China untuk mengambil bahagian sebagai Pengucap Utama bagi seminar “The 2024 China-ASEAN Education Cooperation Week.

Mereka ialah Prof. Dr. Rosna Awang Hashim, Prof. Dr. Tengku Faekah Tengku Ariffin dan Prof. Madya Dr. Hasniza Nordin.

Felo 1

Acara ini berlangsung di Guizhou University of Engineering Science di Bijie, sebuah bandar di Provinsi Guizhou. Seminar ini berjaya mengumpulkan pakar dari Malaysia dan China untuk membincangkan tema “The New Ecology of Applied Talent Cultivation in Sino-Malaysian Universities under the Belt and Road Initiative: Seminar, Practice, and Outlook”.

Dr. Rosna berkata, seminar ini yang merupakan inisiatif utama di bawah Belt and Road Framework memberi tumpuan kepada pembangunan bakat di Universiti China-Malaysia.

Para penceramah dan peserta berkongsi pandangan mengenai perkembangan pendidikan tinggi melalui amalan terbaik dalam pengajaran dan pembelajaran, yang merangkumi penggunaan teknologi semasa. Selain itu, peserta seminar juga meneroka model kurikulum pendidikan tinggi dan penguasaan kemahiran bahasa, dalam menyediakan graduan untuk memenuhi tuntutan dunia yang berubah.

Felo 2

Presiden Guizhou University of Engineering Science,  Linghu Rongfeng telah meraikan pembentang daripada Malaysia semasa jamuan tengah hari dan saling bertukar pendapat mengenai pembangunan terkini di universiti di China dan Malaysia.

Beliau merasakan bahawa penganjuran seminar sebegini merupakan langkah penting dalam memperkukuhkan kerjasama antarabangsa dalam pendidikan tinggi.

Seminar ini diakhiri dengan komitmen untuk mempererat hubungan antara institusi China-Malaysia dan memupuk inovasi dalam pendidikan gunaan untuk menghadapi cabaran tenaga kerja esok. – Prof. Dr. Tengku Faekah Tengku Ariffin