TOKYO, 3 Disember 2024: Delegasi Universiti Utara Malaysia (UUM) yang diketuai oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Mohd Azizuddin Mohd Sani telah melaksanakan pelbagai usaha penting dalam memperkukuhkan hubungan pendidikan global menerusi lawatan rasmi ke Jepun, baru-baru ini.
Lawatan ini yang dianjurkan oleh Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan, Perbankan (SEFB) bertujuan menjalin kerjasama strategik dalam bidang pendidikan, penyelidikan, dan pembangunan kapasiti.
Salah satu pencapaian utama lawatan ini ialah sesi pertemuan bersama Datuk Bandar Hioki City, Yoshitaka Nagayama yang menyatakan kesediaan menerima kunjungan penandaarasan bagi delegasi program Global Executive Training SEFB pada masa akan datang. Kerjasama ini dijangka membuka peluang kepada peserta untuk mempelajari amalan terbaik dalam bidang pengurusan bandar di Jepun.
Dalam satu majlis bersejarah, Memorandum Persefahaman (MoU) telah dimeterai antara UUM dan School of International Liberal Studies, Waseda University yang diwakili oleh Dekan, Prof. Dr. Satoshi Inaba.
Perjanjian ini bakal memperkukuhkan kerjasama dalam bidang penyelidikan, penerbitan, serta program mobiliti pelajar.
Sementara itu, Pengarah Urusan Japan Foundation Tokyo (JFT), Hara Hideki telah menyatakan persetujuan untuk cadangan menaja perbelanjaan Prof. Masazumi Wakatabe, mantan Timbalan Gabenor Bank of Japan, seorang profesor tersohor bagi menyampaikan ucaptama dalam Seminar Kewangan SEFB 2025 yang dijadualkan berlangsung pada April tahun depan.
Tajaan ini melambangkan komitmen Jepun terhadap pembangunan ilmu dalam bidang kewangan global.
Delegasi UUM turut mengadakan kunjungan kerja ke Tsukuba University, Kagoshima University, Chuo University, Kyoto University dan Kyoto Sangyo University. Perbincangan bersama institusi-institusi ini, yang turut disertai oleh Dekan SEFB, Prof. Madya Dr. Bakti Hasan Basri; Dekan STML, Prof. Madya Dr. Mohamed Najib Salleh; Pengarah PACE, Prof. Madya Dr Herman Shah Anuar dan pensyarah kanan, Dr. Normizan Bakar memberi fokus kepada usaha memperkukuhkan program mobiliti pelajar serta kerjasama penyelidikan antara UUM dan universiti-universiti terkemuka Jepun.
Menurut Dr. Bakti, lawatan ini mencerminkan usaha berterusan UUM untuk meningkatkan reputasi antarabangsa institusi dan memperluaskan jaringan strategik global.
“Kami yakin inisiatif ini akan memberi manfaat besar kepada warga UUM, khususnya pelajar SEFB dalam menyediakan bakat yang mampu bersaing di peringkat global.
“Lawatan ini membuktikan komitmen SEFB dan UUM dalam mendukung visi universiti sebagai pusat kecemerlangan ilmu yang berdaya saing di peringkat antarabangsa,” katanya. – Prof. Madya Dr. Bakti Hasan Basri