PATTANI, 25 November 2024: Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS) Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan kerjasama INASIS Muamalat telah mengadakan program lawatan sambil belajar ke Fatoni University, Thailand.
Program ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada pelajar mengenai konsep universiti berasaskan wakaf, budaya tempatan dan potensi jaringan ekonomi halal di wilayah selatan Thailand.
Lawatan ini menarik perhatian kerana Fatoni University dibangunkan dengan dana wakaf, bermula daripada sumbangan peniaga jalanan kecil sehingga kepada pewakaf berskala besar. Model wakaf ini menjadi inspirasi unik bagi pembangunan institusi pendidikan yang mampan.
Fatoni University turut menggunakan panel solar di bumbung bangunannya untuk menjimatkan kos tenaga, manakala kos renovasi bangunan sebahagiannya juga dibiayai melalui dana wakaf.
Dr. Muhammad Fakhirin Che Majid dari IBS yang mengetuai lawatan bersama Roshadah Yaacob dari INASIS Muamalat bersama 40 pelajar IBS UUM telah menyaksikan sendiri keunikan universiti ini.
Selain itu, pelajar juga diberi peluang untuk mengenali bandar Yala dan Pattani yang menjadi nadi ekonomi di wilayah selatan Thailand.
Dr. Muhammad Fakhirin berkata, Bandar Yala sebagai salah satu bandar terbesar di selatan Thailand, berpotensi menjadi pusat jaringan perusahaan halal serta destinasi pelajar dari Thailand untuk melanjutkan pengajian di UUM.
Program ini juga memberi pendedahan kepada pelajar mengenai keindahan budaya tempatan serta keperluan membina hubungan yang lebih erat antara institusi pendidikan Malaysia dan Thailand, di samping program seperti ini dilihat sebagai peluang untuk meneroka potensi kerjasama dalam bidang pendidikan dan ekonomi antara kedua-dua negara.
Lawatan ini diharap mampu membuka jalan bagi pelajar dan pihak UUM untuk terus mengembangkan jaringan kerjasama dengan institusi lain di rantau ASEAN.