All News

CIAC UUM KUKUH TANGGUGJAWAB, SANTUNI WARGA ANJUNG SINGGAH, PULAU PINANG

anjung singgah depan

PULAU PINANG, 24 November 2024: Pusat Hal Ehwal dan Kerjasama Antarabangsa (CIAC), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengadakan program tanggungjawab sosial universiti (USR) yang bermakna dengan menyantuni warga Anjung Singgah Pulau Pinang (ASPP) pada Jumaat lalu.

Program ini bertujuan bukan sahaja untuk membantu golongan gelandangan tetapi juga memperkukuh hubungan antara universiti dan masyarakat setempat.

anjung singgah

ASPP merupakan sebuah pusat penginapan sementara yang dikawal selia oleh Yayasan Kebajikan Negara (YKN) yang menyediakan tempat berteduh untuk gelandangan di Pulau Pinang.

Rombongan CIAC yang hadir telah diberikan taklimat mengenai operasi ASPP dan YKN, termasuk usaha mereka dalam menyediakan sokongan kepada golongan rentan.

Pengarah YKN Zon Utara II, Zulkifli Yaacob berkata, ASPP mampu menempatkan sehingga 40 individu pada satu masa.

Menurutnya, proses saringan ketat dilaksanakan bagi memastikan penghuni bebas daripada pengaruh dadah dan benar-benar memerlukan bantuan.

anjung singgah 1

Beliau turut berkongsi bahawa latar belakang penghuni ASPP terdiri daripada pelbagai golongan, termasuk mereka yang mengalami masalah hubungan keluarga, keganasan rumah tangga atau kehilangan pekerjaan. Majoriti penghuni pula adalah berbangsa Melayu.

ASPP dengan kerjasama pihak swasta turut berusaha membantu penghuninya kembali berdikari dengan menyediakan pekerjaan yang bersesuaian. Malah, beberapa majikan turut menawarkan kemudahan seperti asrama dan pengangkutan kepada pekerja mereka.

Perkhidmatan kaunseling juga disediakan di ASPP bagi membantu penghuni memulihkan semangat dan membina masa depan yang lebih baik.

anjung singgah 2

Pengarah Projek, Amierul Husniey Che Abd Rahman berkata, sebagai sebahagian daripada usaha menyokong operasi ASPP, CIAC telah menyerahkan sumbangan barangan keperluan harian seperti tuala mandi, sabun dan barangan asas lain.

“Tidak hanya itu, rombongan CIAC turut melibatkan diri secara langsung dalam aktiviti gotong-royong membersihkan fasiliti ASPP.

“Program ini bukan sekadar membantu komuniti gelandangan tetapi juga memupuk semangat kerjasama dan kesyukuran dalam kalangan staf CIAC. Kami berhasrat menjadikan program ini acara tahunan sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial universiti,” katanya.

Program ini juga berperanan meningkatkan keterlihatan UUM sebagai universiti yang prihatin terhadap kebajikan masyarakat. Dengan sokongan berterusan daripada pelbagai pihak, usaha murni seperti ini diharap dapat diteruskan bagi membawa perubahan positif kepada komuniti yang memerlukan. – Mohd Azri Abdul Aziz dan Amierul Husniey bin Che Abd Rahman