All News

PUSAT PENGAJIAN SAINS KUANTITATIF, UUM SERTAI KERJASAMA AKADEMIK DI TIFT, UZBEKISTAN

TIFT UZBEKISTAN

SINTOK, 12 November 2024: Pusat Pengajian Sains Kuantitatif, Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menerima jemputan berprestij untuk menjalinkan kerjasama akademik dengan Tashkent International University of Financial Management and Technologies (TIFT), Uzbekistan.

Dekan SQS, Prof. Dr. Haslinda Ibrahim, pakar dalam bidang matematik bersama dua staf akademik UUM telah dijemput sebagai Profesor Pelawat di TIFT bermula 4 November 2024.

Sepanjang tempoh sebulan, Prof. Dr. Haslinda akan berpeluang berkongsi kepakaran dalam matematik dan penyelesaian masalah, sambil berkolaborasi dengan rakan akademik dari luar negara.

TIFT UZBEKISTAN 2

Peluang ini juga akan memperkukuhkan hubungan antara UUM dan TIFT serta membuka jalan kepada lebih banyak kerjasama dalam bidang pendidikan dan penyelidikan antara Malaysia dan Uzbekistan.

Rektor TIFT, Azizkhon Nodirov telah menyambut baik kedatangan delegasi UUM dan berharap kepakaran yang dibawa oleh Prof. Dr. Haslinda akan menyumbang kepada peningkatan inovasi dalam pembelajaran di universiti tersebut.

Dalam usaha untuk memperkukuhkan lagi hubungan akademik ini, TIFT turut berhasrat menaja tiga pelajar mereka untuk mengikuti program pertukaran selama satu semester di UUM, bergantung kepada kejayaan mereka dalam peperiksaan yang dikendalikan oleh Prof. Dr. Haslinda.

Kerjasama ini diharapkan dapat memberikan impak positif dalam memperkaya pengalaman pelajar dan meningkatkan sinergi antara kedua-dua universiti, seterusnya menyumbang kepada pembangunan akademik yang berterusan di kedua-dua negara. – Haslida Ismail