All News

GOCERP KONGSI PENEMUAN PENYELIDIKAN

gocerp

Oleh: Siti Fatimah Abdullah

Gambar oleh: Muhammad Shamsul Shafie

Sintok: Global Conference on Educational Research and Practices (GOCERP) 2024 mencerminkan era baharu pendidikan melalui mekanisme pembentangan dan penerbitan.

Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, penglibatan Consortium of Asia Pacific Education Universities (CAPEU) memainkan peranan penting dalam memupuk pelbagai perkongsian untuk seminar ini.

“Seminar ini   menyediakan   platform untuk penyelidik, saintis pendidikan, ahli akademik untuk bertukar-tukar idea dan berkongsi penemuan penyelidikan serta mencerminkan era baharu pendidikan melalui mekanisme pembentangan dan penerbitan,” katanya.

Jelasnya, penganjuran ini juga bertujuan untuk menyerlahkan amalan terbaik, hasil penyelidikan dan kemajuan dalam kedua-dua inisiatif teknologi dan sosial, serta menangani cabaran era pendidikan baharu.

“Saya yakin bahawa penyertaan aktif kakitangan akademik, peserta antarabangsa dan pelajar pascasiswazah UUM akan meningkatkan potensi untuk menghasilkan prosiding berkualiti tinggi dan penerbitan jurnal terindeks.

“Seminar ini akan mewujudkan peluang kepada pakar dari pelbagai institusi untuk berkongsi penyelidikan dan pengalaman mereka, menyumbang kepada asas pengetahuan global dan meningkatkan kualiti pendidikan,” ucapnya ketika merasmikan GOCERP 2024 yang berlangsung di EDC-UUM semalam.

Beliau berharap seminar ini dapat meluaskan rangkaian dan mengukuhkan hubungan di kalangan pakar dalam dan luar negara, seterusnya mempertingkatkan sistem pendidikan, khususnya dalam pengajaran dan pembelajaran.

Dalam pada itu beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua  peserta  serta menyifatkan penyertaan ini  bukan sahaja menunjukkan sokongan padu malah menandakan permulaan kerjasama berterusan dan perkongsian strategik dalam penyelidikan dan penerbitan.

“Bagi pihak UUM, saya mengucapkan ribuan terima kasih atas dedikasi   anda dalam menjayakan seminar ini,” katanya.

Seminar yang bertemakan ‘Future Proof-Education: Empowering Minds For Tomorrow’ ini dianjurkan oleh Pusat Pengajian Pendidikan (SOE) UUM dengan kerjasama Consortium of Asia-Pacific Education Universities (CAPEU), Universitas Muhammadiyah Prof. Dr. Hamka (UHAMKA) dan Universitas Muhammadiyah Sidoarjo (UMSIDA).

Seminar dua hari itu menampilkan pengucap utama seperti Presiden CAPEU, Prof. Dato’ Dr. Md Amin Md Taff, Pengerusi Majlis Profesor UUM, Prof. Dr. Rosna Awang Hashim, Presiden Philippine Normal University (PNU), Filipina, Dr. Bert J. Tuga, Rektor UHAMKA, Indonesia Prof. Dr. H. Gunawan Suryoputro dan Timbalan Rektor III UMSIDA, Indonesia Dr. Nurdyansyah.