All News

UNIVERSITAS BRAWIJAYA TEROKA HORIZON BARU DENGAN SOIS

ubrawijaya

Oleh: Rosmiza Ahmad

Gambar oleh: Wira Syawal Abu Seman dan Nasirruddin Abdul Jalil

SINTOK: Pusat Pengajian Antarabangsa (SOIS) Universiti Utara Malaysia (UUM) menerima kunjungan daripada delegasi Fakultas Sosial dan Ilmu Politik Universitas Brawijaya, Malang, Indonesia.

Seramai 18 ahli delegasi yang diketuai oleh Pengerusi Senat Akademik, Fakultas Sosial dan Ilmu Politik Universitas Brawijaya, Prof. Dr. Ir. Darsono Wisadirana, MS., telah disambut Dekan SOIS, Prof. Madya Dr. Laila Suriya Ahmad Apandi.

Menurut Dr. Laila, tujuan lawatan ini adalah untuk menjalin hubungan lebih erat dan meneroka peluang kolaborasi yang bermanfaat kepada kedua-dua pihak.

Kunjungan hormat ini bertujuan untuk memperkukuh lagi jaringan antarabangsa bersama SOIS serta UUM amnya serta turut merangka peluang kerjasama strategik dalam pelbagai bidang termasuk penyelidikan, penerbitan, program akademik, dan program ‘Inbound and Outbound Mobility’ yang diharap dapat mencetuskan kerjasama yang lebih strategik antara kedua-dua institusi.

Sepanjang lawatan tersebut, delegasi juga telah dibawa melawat fasiliti utama di UUM termasuk Anjung Tamu, Muzium, dan U-Assist bagi memperkenalkan UUM serta memberikan pandangan mendalam mengenai infrastruktur dan perkhidmatan yang disediakan oleh UUM sejajar dengan usaha mempromosikan UUM yang menyambut ulang tahun ke 40 tahun ini.

Sementara itu, Dr. Ir. Darsono Wisadirana melahirkan kekagumannya terhadap sistem pengurusan SOIS dan UUM.

Beliau menyatakan keyakinan bahawa kunjungan ini akan membuka ruang untuk lebih banyak pertukaran ilmu dan peluang kerjasama yang akan mempertingkatkan mutu pendidikan dan penyelidikan di kedua-dua institusi.

“Kunjungan ini diharap dapat memacu hubungan yang lebih produktif dan berfaedah antara Universitas Brawijaya dan UUM pada masa hadapan,” katanya. – Rosmiza Ahmad