Oleh: Nordiana Shafiee
Gambar oleh: Ihsan Asia World Model United Nations
SINTOK: Empat pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) iaitu Wee Khai Nern, Hisha a/p Mani Maran, Atikah Maisarah Hanafi dan Nur Alieya Mohd Assrul Haffiz telah mewakili delegasi Malaysia dalam Majlis Pertubuhan Pelancongan Dunia (UNWTO) di Persidangan Asia World Model United Nations (AWMUN) VIII yang berlangsung di Bali, Indonesia pada 12 hingga 15 Julai lalu.
Bertemakan “The Interplay of Development: Globalization And Localization”, beberapa isu penting dunia menjadi topik perbahasan seperti pendidikan, kesihatan, budaya dan pelancongan.
Acara ini dihadiri oleh 250 peserta terdiri daripada pelajar pelbagai peringkat dari 16 negara ini memberi peluang kepada anak muda dari seluruh dunia untuk mengembangkan kemampuan dan bakat serta mendapat maklumat terkini.
Pelajar Sarjana Muda Sastera Linguistik dan Teknologi Maklumat, Khai Nern berkata, tujuan mereka adalah membina jaringan dengan pelajar antarabangsa, meningkatkan keyakinan pengucapan awam dalam Bahasa Inggeris dan memperbaiki kemahiran berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris dengan lebih lancar, selain mendapat kenalan baru.
Menurutnya, sepanjang berada di persidangan itu, mereka mendapat peluang berucap semasa ‘General Speaker List’, membina gabungan blok negara-negara yang mempunyai kesefahaman dan agenda yang sama, bersimulasi sebagai wakil delegasi negara dalam menyampaikan cadangan bagi menangani isu-isu pelancongan peringkat global dalam acara mesyuarat formal (Moderated Caucus) dan tidak formal (Unmoderated Caucus) serta menyatakan sokongan dengan memberi undian terhadap kertas cadangan dari negara terwakil.
“Banyak pengalaman baru diperoleh antaranya kami mempelajari cara pengendalian persidangan antarabangsa di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) secara fizikal, berbahas dalam cara diplomatik supaya memperoleh situasi menang-menang (win-win situation), dapat menggunakan ‘Point Centric Speech’ yang efisien dan meningkat kemahiran mengawal situasi mesyuarat serta mendapatkan sokongan majoriti.
“Selain UUM, empat lagi universiti mewakili Malaysia adalah Wawasan Open University, Sunway University, Asia Pacific University dan University of Southampton Malaysia, manakala institusi lain ialah Brainy Bunch International Islamic School, Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Katholik, Kolej Yayasan Saad dan Brickfields Asia College,” katanya.
Dalam persidangan tersebut, delegasi Malaysia telah menunjukkan komitmen dan dedikasi yang tinggi dalam memperjuangkan idea-idea inovatif serta penyelesaian praktikal untuk memajukan industri pelancongan di persada antarabangsa.
Mereka turut membincangkan tentang kepentingan pelancongan lestari yang berasaskan komuniti dan penggunaan teknologi hijau untuk mengurangkan jejak karbon industri pelancongan.
Penyertaan mereka dalam persidangan ini telah memberi peluang kepada mereka untuk belajar dan bertukar pendapat dengan rakan-rakan dari seluruh dunia, sekali gus memperkukuhkan hubungan diplomatik antara Malaysia dan negara-negara lain dalam usaha bersama untuk memajukan sektor pelancongan global.