All News

INASIS TRADEWINDS ADAKAN KUNJUNGAN STRATEGIK KE JAKARTA BUSINESS SCHOOL

kunjunganjbs

Oleh: Afiqah Said 

Gambar oleh: JKPSRS

JAKARTA: Jawatankuasa Kepimpinan Pembangunan Siswa dan Residen Siswa (JKPSRS) INASIS Tradewinds telah mengadakan lawatan strategik ke Jakarta Business School (JBS), Indonesia di mana Tan Sri Dr. Nordin Kardi merupakan Ketua Pegawai Eksekutif dan juga mantan Naib Canselor Universiti Utara Malaysia ke-6.

Presiden INASIS Tradewinds, Shafiq Shafiee berkata, INASIS Tradewinds dan JBS mendapati banyak cadangan kolaborasi serta kerjasama yang boleh dilakukan antara kedua-dua pihak.

Menurutnya, banyak ilmu diperolehi dan pengetahuan yang berharga sepanjang sesi lawatan dan perbincangan berlangsung.

Selain itu, perbincangan juga memfokuskan kepada cadangan kolaborasi dalam bidang baharu yang boleh diperkenalkan di Jakarta Business School iaitu logistik dan pengangkutan dalam bentuk satu kajian empirikal untuk melihat kesan signifikan dalam penawaran program tersebut. 

Sesi pertukaran pendapat serta idea bersama Dr. Nordin turut diadakan melibatkan Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML), Prof. Madya Dr. Rohafiz Sabar yang berhasrat untuk mengadakan kolaborasi bersama bagi projek-projek akan datang khususnya dalam bidang logistik dan pengangkutan.
 
Dr. Nordin merupakan mantan Naib Canselor UUM selama 6 tahun dan Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) selama 9 tahun telah menubuhkan institusi pendidikan itu sebagai tanda sokongan untuk membantu ekonomi dan warga Indonesia.

Dalam pertemuan itu, beliau telah mengimbau banyak kenangan sepanjang di UUM.

“Saya memilih UUM kerana saya pernah bekerja dan berkhidmat disana. Jadi rasa sayang dan rindu terhadap warga universiti masih terpahat di dalam ingatan.

“Meskipun sudah menjadi mantan, saya tetap akan membawa UUM ke arah pembinaan universiti terbaik di dunia,” katanya.

Pengetua INASIS Tradewinds, Dr. Asma Mat  berkata, Dr. Nordin merupakan guru kepada guru yang memberikan kesan terbaik dalam diri saya semasa belajar di peringkat PhD.

Menurutnya, penglibatan dalam kolaborasi dan perjumpaan ini akan menjadi suatu penghargaan kepada dirinya.

Turut terlibat, Ketua Divisi Publikasi LPPM UHAMKA, Rizki Dwi Siswanto dan Timbalan Pengetua INASIS Tradewinds, Meor Muhammad Afif Aiman Abu Bakar. – Afiqah Said