Oleh: Farah Adelia Nor Azlishan
Gambar oleh: JKPSRS INASIS Tradewinds
ALOR SETAR: Seramai 18 Pelajar Universitas Muhammadiyah Prof. Dr. Hamka (UHAMKA) dengan kerjasama 17 Jawatankuasa Kepimpinan Pembangunan Siswa & Residen Siswa (JKPSRS) INASIS Tradewinds berpeluang melawat Dewan Undangan Negeri Kedah dan Muzium Diraja Kedah, baru-baru ini.
Lawatan ini diadakan adalah untuk mendedahkan kepada pelajar proses legislatif dan bagaimana undang-undang digubal serta memberi peluang kepada pelajar UHAMKA untuk mengenali lebih mendalam tentang sistem pentadbiran negara Malaysia serta mempelajari sejarah negeri Kedah.
Timbalan Pengarah Program Mobility Inbound Voyage Horizons Venture, Firdaus Saharin berkata, melalui lawatan ini pelajar UHAMKA dan JKPSRS INASIS Tradewinds dapat berinteraksi dengan pegawai kerajaan yang membuka peluang untuk kerjasama pada masa hadapan.
Menurutnya, mereka juga berpeluang merasai secara langsung di mana perbincangan dan perbahasan dijalankan dalam DUN.
Pengenalan dan taklimat tentang Dewan Undangan Negeri telah disampaikan oleh Setiausaha Pejabat Dewan Undangan Negeri Kedah, Zaidi Ahmad. Sesi soal jawab juga diadakan dan beberapa soalan telah diajukan oleh pelajar UHAMKA dan AJK Mobility Inbound Voyage Horizons Venture.
Dalam lawatan ke Muzium Diraja Kedah, pelajar UHAMKA dapat mempelajari sejarah negeri Kedah di mana mereka melihat secara terus sejarah yang terdapat di situ memandangkan tiada kamera dibenarkan, malah sejarah membuktikan negara Malaysia dan Indonesia mempunyai pertalian sedikit sebanyak dengan adanya jajahan Bugis dan sebagainya.
Kedatangan pelajar turut diraikan Setiausaha Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Mohamad Azlee Ahmad yang berbesar hati menerima kunjungan mereka memandangkan beliau juga merupakan salah seorang alumni UUM dalam bidang Pengurusan Awam.
Menurutnya, dengan adanya lawatan seperti ini, diharapkan hubungan di antara negara Malaysia dan Indonesia dapat diperkukuhkan lagi kerana generasi muda sekarang yang akan menerajui negara pada masa akan datang.
Beliau juga menyeru pelajar dalam bidang Pengurusan Awam untuk membina karier di dalam sektor kerajaan seperti dirinya.
Ketua Delegasi UHAMKA, Sidik Maulana berkata, beliau berasa kagum dengan lawatan yang diadakan, ditambah pula banyak sejarah yang telah dipelajari seperti sejarah Mahsuri, replika Bunga Mas yang dihantar kepada Raja Siam pada satu ketika dahulu.
Sidik Maulana juga mendapat input baharu tentang perbezaan kerajaan di Malaysia dan Indonesia serta mengetahui lebih mendalam tentang perbezaan negara demokratik dan negara republik.
Turut serta, Pegawai Pengiring UHAMKA, Devi Anugrah, M. Pd dan Timbalan Pengetua INASIS Tradewinds, Meor Muhammad Afif Aiman Abu Bakar. – Farah Adelia Nor Azlishan