All News

KUKUH HUBUNGAN DAN KESEFAHAMAN PENGURUSAN UNIVERSITI DAN KOMUNITI AKADEMIK ANTARABANGSA

hubungan

Oleh: Fadhlina Md Pudzi

Gambar oleh: Danial Nizar Mansor

SINTOK: Pusat Pengajaran Pembelajaran Universiti (UTLC) telah menganjurkan seminar “Connecting Cultures: A Session with DVC (A&A)” di Future Learning Lab (FLL), UTLC, baru-baru ini.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Mohd Azizuddin Mohd Sani telah berkongsi pandangan mengenai pelbagai isu termasuk transformasi UUM dan polisi kerajaan berkaitan pengambilan pensyarah pelawat dan antarabangsa termasuk strategi untuk memperkasa kehadiran akademik antarabangsa di kampus UUM.

“Dalam usaha untuk memupuk dan mengekalkan bakat akademik, UUM telah menggariskan strategi pengurusan bakat termasuk inisiatif-inisiatif untuk menyokong perkembangan kerjaya pensyarah antarabangsa,” katanya.

Dr. Mohd Azizuddin turut menekankan kepentingan penyelidikan berkualiti tinggi, peluang geran penyelidikan dan keperluan penerbitan dalam jurnal berimpak tinggi. Indeks sitasi juga dibincangkan sebagai satu ukuran penting dalam menilai pencapaian akademik.

Sementara itu, Pengarah UTLC, Prof. Madya Ts. Dr Izwan Nizal Mohd Shaharanee berkata, seminar yang diadakan adalah khusus untuk pensyarah antarabangsa yang berkhidmat di UUM dengan tujuan memperkukuhkan hubungan dan kesefahaman antara pihak pengurusan universiti dan komuniti akademik antarabangsa.

Beliau turut menyampaikan perkongsian berharga mengenai dua topik penting iaitu “Navigating Cultural Differences in Academic Settings” dan “Inspiring as an International Educator”.

Dalam sesi ini, beliau memberi penekanan kepada cara-cara pensyarah antarabangsa dapat menghargai perbezaan silang-budaya dalam konteks akademik dan bagaimana mereka dapat menjadi inspirasi dalam pengajaran dan pembelajaran sebagai pendidik antarabangsa.

Selain itu, sesi yang dihadiri  30 pensyarah antarabangsa itu juga memberi ruang untuk dialog terbuka di mana para pensyarah antarabangsa berpeluang untuk bersoal jawab mengenai isu-isu yang berkaitan dengan kerjaya mereka di UUM, di samping mendalami topik-topik tersebut serta bertukar pandangan dan pengalaman.

Seminar ini merupakan langkah proaktif UUM dalam memastikan komuniti akademik antarabangsa merasa dihargai dan diberi perhatian yang sewajarnya.

Melalui sesi ini, UUM berharap dapat terus memperkukuhkan budaya inklusif dan menyokong perkembangan kerjaya para pensyarah antarabangsa di Malaysia. – Fadhlina Md Pudzi