Berita dan gambar oleh: Farah Adelia Nor Azlishan
CHANGLUN: Seramai 18 pelajar Universitas Muhammadiyah Prof. Dr. Hamka (UHAMKA) bersama 15 ahli jawatankuasa Program Mobility Inbound: Voyage Horizons Ventures telah menganjurkan program di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Changlun, baru-baru ini.
Timbalan Pengarah Program, Firdaus Saharin berkata, program dengan kerjasama Jawatankuasa Kepimpinan Pembangunan Siswa dan Residen Siswa (JKPSRS) INASIS Tradewinds, Universiti Utara Malaysia (UUM) itu bertujuan untuk merangsang minda anak-anak di PPDK tersebut.
Menurutnya, betapa sukar untuk dibayangkan mental dan fizikal ibu bapa yang mempunyai anak istimewa kerana memerlukan lebih perhatian dan kesabaran dalam menjaga mereka.
Firdaus juga berasa terharu apabila melihat kanak-kanak di PPDK itu sangat ceria menerima kedatangan pelajar UHAMKA dan UUM serta menjadi akrab biarpun hanya meluangkan masa selama satu hari.
Sesi pertama dimulakan dengan aktiviti bersenam, pengenalan kepada cara mencuci tangan dan aktiviti membuat kain dengan motif tiedye. Walaupun anak-anak di PPDK ini merupakan insan istimewa tetapi ia bukan penghalang untuk mereka bersama-sama menyertai aktiviti yang diadakan.
Sesi kedua diteruskan selepas waktu rehat dengan aktiviti membuat pohon cita-cita, seni batik dan jarimatika. Aktiviti pada sesi ini lebih ke arah pendidikan. Menerusi aktiviti ini pelajar UHAMKA dan UUM dapat belajar erti kesabaran ketika mengajar.
Salah seorang pelajar di PPDK ini yang merupakan anak autism telah berkongsi cita-citanya untuk menjadi bomba. Walaupun terdapat kekurangan dari segi fizikal, mereka tetap bersemangat ketika menjalankan aktiviti lebih-lebih lagi ketika aktiviti mewarna.
Sementara itu, Penyelia PPDK Changlun, Rosmazlawati Abdul berkata, menjaga dan mendidik anak istimewa bukanlah suatu hal yang mudah namun perkara itu menjadi satu titik permulaan untuk memupuk sifat prihatin dan kasih sayang dalam diri.
Menurutnya, Pusat Pemulihan itu ditubuhkan untuk membantu orang kurang upaya seperti kanak-kanak Sindrom Down dan kanak-kanak yang kurang upaya pembelajaran.
Pengalaman yang diperolehi daripada program di PPDK ini memberi impak yang sangat besar dalam hidup pelajar UHAMKA dan JKPSRS INASIS Tradewinds.
Hadir sama, Pegawai Pengiring UHAMKA, Devi Anugrah, M. Pd; Pengetua INASIS Tradewinds, Dr. Asma Mat dan Timbalan Pengetua INASIS Tradewinds, Meor Muhammad Afif Aiman Abu Bakar. – Farah Adelia Nor Azlishan