Berita dan gambar oleh: Nur Nabila Natasha Othman
SINTOK: Bengkel Program Persidangan Antarabangsa Politik Malaysia-Indonesia melestarikan hubungan serantau antara Malaysia dan Indonesia dalam mempelbagaikan kolaborasi.
Delegasi terdiri daripada 43 orang Indonesia telah menyertai bengkel anjuran Institut Kajian Analisis Politik Malaysia (MAPAN), Universiti Utara Malaysia (UUM) itu di Auditorium Pusat Pengajian Antarabangsa, baru-baru ini.
Program selama dua hari itu turut mendapat kerjasama Ghazali Shafie Executive Enhancement Programme (GSEEP) dan Asian Institute of International Affairs and Diplomacy (AIIAD).
Bertemakan “Menilai Kualiti Demokrasi dan Hubungan Bilateral”, bengkel ini merupakan perjanjian kerjasama penyelidikan, penerbitan, persidangan, penyediaan latihan eksekutif dan pengambilan pelajar pascasiswazah antara MAPAN, GSEEP, AIIAD dengan 14 universiti dan institut di Indonesia.
Selain itu, program ini juga telah menubuhkan Indonesian-Malaysian Political Institutions Network (IMAPIN) yang bakal diterajui oleh MAPAN.
Pembentukan jaringan secara rasmi juga telah dibuat melalui Surat Hasrat (LoI) sebagai usaha untuk melestarikan hubungan serantau dan mempelbagaikan koloborasi dalam meningkatkan kuantiti dan kualiti penyelidikan, penerbitan, persidangan dan pengambilan pelajar pascasiswazah.
Naib Canselor UUM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, beliau memandang tinggi kesudian delegasi dari Indonesia menempuh perjalanan yang jauh dari tanah seberang ke sini untuk menjayakan Persidangan Antarabangsa Politik ini.
Kehadiran dan perbicangan kertas kerja daripada semua delegasi Indonesia ini membolehkan UUM memperkukuhkan hubungan politik, ekonomi dan sosial antara Malaysia dan Indonesia.
“Hal ini penting untuk mengenalpasti bidang untuk kerjasama dan manfaat bersama,” katanya.
Sementara itu, Dekan GSGSG, Prof. Dr. Rusdi Omar berkata, Program Persidangan Antarabangsa Malaysia-Indonesia ini amat penting untuk bersama-sama menilai kualiti demokrasi di Malaysia dan Indonesia serta memahami dinamika hubungan bilateral antara kedua-dua negara.
Beliau juga turut berharap agar LOI yang disusuli dengan pembentukan jaringan secara rasmi melalui Memorandum Persefahaman ini dapat merangsang usaha untuk melestarikan hubungan serantau dan mempelbagaikan kolaborasi dalam meningkatkan kuantiti dan kualiti penyelidikan, penerbitan, persidangan dan pengambilan pelajar pascasiswazah antara semua universiti dan institusi yang terlibat.
Menurutnya, Persidangan Antarabangsa Malaysia-Indonesia ini menunjukkan satu inisiatif yang baik dalam menjalin hubungan baik antara Malaysia-Indonesia dalam sudut penyelidikan serta penerbitan.
“Program ini seharusnya dianjurkan dengan kolaborasi banyak pihak lagi supaya institusi penyelidikan negara dapat perkembang dan maju ke hadapan,” katanya. – Nur Nabila Natasha Othman