All News

PELAJAR UHAMKA TEROKA PENTADBIRAN DAN KEINDAHAN UUM

uhamkapic

Berita dan gambar oleh: Farah Adelia Nor Azlishan

UUM ONLINE: Jawatankuasa Kepimpinan Pembangunan Siswa dan Residen Siswa (JKPSRS) INASIS Tradewinds, Universiti Utara Malaysia (UUM) dan pelajar Universitas Muhammadiyah Prof. Dr. Hamka (UHAMKA) telah menerokai pentadbiran dan keindahan UUM melalui lawatan ke beberapa pusat pengajian di UUM.

Antara yang sempat dilawati adalah Pusat Pengajian Pendidikan, Pusat Pengajian Undang-Undang, Pusat Pengajian Kerajaan dan Pusat Pengajian Perniagaan Islam serta U-Assist bagi mengetahui lebih mendalam tentang sistem pengurusan yang terdapat di UUM.

Sesi pengenalan dan sesi soal jawab telah diadakan di setiap pusat Pengajian di mana pihak pentadbiran memperkenalkan kursus dan keunikan yang terdapat di tempat masing-masing, malah terdapat pelbagai soalan yang diajukan oleh pelajar UHAMKA tentang sistem pembelajaran dan kursus-kursus yang ditawarkan di UUM.

Dalam lawatan ke U-Assist, Penolong Kanan Pegawai Tadbir Akademik, Norhanil Hekmah Rosli telah mengiringi dan menjelaskan fungsi pentadbiran U-Assist kepada pelajar UHAMKA yang dikenali sebagai ‘One-Stop Centre’ merupakan pusat untuk memudahkan urusan pelajar UUM.

Antara perkhidmatan yang disediakan adalah khidmat kaunseling dan urusan VISA pelajar antarabangsa di UUM. UUM Student Portal juga merupakan salah satu inisiatif yang diadakan oleh pihak U-Assist bagi kemudahan pelajar UUM.

Norhanil berkata, UUM menggunakan teknologi seperti aplikasi UUM Student bagi memudahkan urusan pelajar kerana pada masa kini semuanya hanya terdapat di hujung jari.

Beliau juga mengajak pelajar dari UHAMKA untuk melanjutkan pelajaran di UUM supaya mendapat pengalaman baharu di Malaysia.

Sementara itu, Ketua delegasi UHAMKA, Sidik Maulana berkata, pelajar UHAMKA yang mengikuti program ini memohon bimbingan dan tunjuk ajar pihak UUM sepanjang mereka berada di sini.

Beliau turut menyampaikan pendapat tentang keindahan UUM dan kebaikan fasiliti yang terdapat di sekitar UUM serta kecanggihan teknologi yang digunakan oleh pihak pentadbiran U-Assist.

Lawatan ke pusat pengajian dan U-Assist ini telah memberi peluang kepada pelajar UHAMKA untuk menimba ilmu baharu tentang sistem pendidikan dan pentadbiran Malaysia. Program ini sedikit sebanyak telah memberi impak yang besar dalam hubungan pendidikan antara kedua-dua negara.