All News

SESI TEMU MESRA BANGKIT SUNTIKAN SEMANGAT KEPADA PELAJAR MOBILITI OUTBOUND

slcp

Oleh: Nasrol Hadi Ahmad Shukeri

Gambar oleh: Nur Fatirah Mohd Dzahir

UUM ONLINE: Seramai empat pelajar Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun (SLCP) Universiti Utara Malaysia (UUM) berjaya menempatkan diri di tiga universiti luar negara iaitu Universitas Gadjah Mada dan Universitas Indonesia (Indonesia) serta Ankara Yildirim Beyazit University (Turkiye).

Pelajar tersebut ialah Nur Jannatun Najla Alizan dan Siti Khadijah Kamarul Zaman daripada program Ijazah Sarjana Muda Linguistik dan Teknologi Maklumat (BLIT) serta Nornadhirah Mohd Noor dan Roslitah Madusah daripada program Ijazah Sarjana Muda Sejarah Gunaan (BAH) yang akan mengikuti program mobiliti selama satu semester.

Pelajar, Siti Khadijah yang akan berlepas ke Universiti Ankara Yildirim Beyazit University, Turkiye pada awal September nanti berterima kasih kepada UUM kerana telah memberikan peluang kepadanya untuk menimba pengalaman baharu belajar di luar negara.

Sehubungan itu, sesi temu mesra pelajar program mobiliti outbound telah diadakan oleh Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun (SLCP) di Bilik Mesyuarat Baiduri SLCP, baru-baru ini.

Sementara itu, Dekan SLCP, Prof. Dr. Shukri Ahmad berkata, peluang yang diberikan ini wajar dimanfaatkan sebaiknya dan rebutlah peluang yang diberikan UUM untuk belajar sesuatu yang baharu.

Beliau turut berpesan kepada semua pelajar supaya tetap menjaga imej dan nama baik UUM sepanjang keberadaan mereka di negara luar.

“Kamu semua adalah duta kecil yang membawa nama UUM dan pastikan bawa nama universiti ini dengan baik walau di mana berada,” katanya.

Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) SLCP, Dr. Nor Azlah Sham Rambely memberikan taklimat ringkas tentang program mobiliti outbound kepada pelajar-pelajar terbabit.

Majlis juga turut dihadiri oleh Ketua Unit SLCP bagi memberikan suntikan kata-kata semangat dan nasihat kepada semua pelajar terbabit.