All News

PELAJAR INASIS TRADEWINDS DAN UHAMKA PERKASA PENGAJIAN ISLAM

tradewindpic

Berita dan gambar oleh: Farah Adelia Nor Azlishan

UUM ONLINE: Jawatankuasa Kepimpinan Pembangunan Siswa dan Residen Siswa (JKPSRS) INASIS Tradewinds, Universiti Utara Malaysia (UUM) telah bekerjasama dengan pelajar Universitas Muhammadiyah Prof. Dr. Hamka (UHAMKA) untuk memperkasakan Pengajian Agama Islam di Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), Pusat Islam.

Kerjasama ini telah diterima baik oleh pihak pentadbiran KAFA lebih-lebih lagi Penolong Pegawai Tadbir Pusat Islam, Sharif Abdus Salam Sharif Saad.

Sharif Abdus Salam telah berpesan kepada pelajar UHAMKA untuk terus mencari ilmu dan pengalaman melalui program-program seperti mobiliti ini yang membuka peluang kepada hubungan pendidikan antara Malaysia dan Indonesia.

Menurutnya, Pusat Islam pernah menerima kunjungan dari pelajar Indonesia sebelum ini dan beliau berbesar hati untuk berkolaborasi bagi program-program pendidikan pada masa akan datang.

Pengarah Program Mobility Inbound Voyage Horizons Venture, Ahmad Zariff Adam mengucapkan terima kasih kepada pihak KAFA, Pusat Islam kerana menerima baik kedatangan pelajar UHAMKA dan JKPSRS INASIS Tradewinds bagi menjayakan program tersebut.

“Program Didikan Awal Kanak-Kanak di Sekolah Pendidikan Islam, Pusat Islam ini juga sedikit sebanyak dapat memperkasakan pengajian agama Islam dengan pendekatan yang dibawa oleh pelajar UHAMKA kerana mereka telah berjaya menarik perhatian murid-murid KAFA dengan cara yang tersendiri melalui nyanyian dan sebagainya.

“Saya berharap kita dapat menjalinkan kerjasama bagi program lain yang akan datang bersama pihak KAFA,” katanya.

Seramai 18 pelajar UHAMKA bersama lapan AJK program telah mengikuti beberapa aktiviti bagi memperkasakan lagi Pengajian Agama Islam dalam kalangan murid berusia 5 hingga 12 tahun di sekolah tersebut. Antaranya adalah bertarannum, membaca surah lazim Al-Quran dan mempelajari kosa kata Bahasa Arab.

Biarpun terdapat perbezaan dari segi bahasa namun perkara itu tidak menjadi penghalang ketika sesi pembelajaran, malah murid yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur itu juga menerima baik aktiviti di dalam kelas yang dikendalikan oleh pelajar UHAMKA.