Oleh: Siti Fatimah Abdullah
Gambar oleh: Hairul Nizam Zahari
UUM ONLINE: “Anda berperanan sebagai duta kecil Malaysia untuk mempromosikan keunikan budaya dan nilai-nilai murni negara kita kepada masyarakat antarabangsa.
“Gunakanlah pengalaman ini sebagai peluang untuk membina jaringan global yang bermanfaat bagi kerjaya dan masa depan anda.”
Demikian pesanan Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan kepada kira-kira 30 pelajar yang bakal menyertai program mobiliti ke Australia 18 Ogos ini.
Berkongsi pengalaman semasa menjadi Timbalan Naib Canselor selama 10 tahun, ketika menyertai jelajah ilmu dengan membawa para pelajar ke luar negara, beliau melihat pelajar berpeluang mempelajari banyak perkara bermula dari kertas kerja sehingga lawatan.
Justeru beliau optimis, pelajar dapat hasil positif daripada program ini dan pastinya mereka akan membina jaringan kerjasama, misalnya setiap pelajar mempunyai KPI masing-masing.
“Seorang pelajar mesti memiliki sekurang-kurangnya jalinan dengan 5 pelajar di sana dan hubungan yang terjalin ini bukan sahaja tamat sebaik habis program tetapi berterusan sampai bila-bila sama ada melalui WhatsApp atau media sosial.
“Saya yakin sekiranya interaksi diteruskan kita akan sentiasa mempelajari pengalaman dan perkembangan tentang apa jua yang berlaku dari semasa ke semasa. Siapa tahu suatu hari mereka akan bekerja di Australia sebab dari pengalaman saya, setiap jelajah ilmu pasti ada seorang yang bekerja di negara yang dikunjungi.
“Menariknya, mereka dapat peluang keemasan ini apabila aktif dalam sesi soal jawab sehingga agensi antarabangsa tertarik dengan personaliti pelajar dan terus menawarkan pekerjaan,” ucapnya ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Program Intercontinental Leadership Voyage to Australia di Auditorium SOIS, pagi tadi.
Beliau berharap peserta akan memberi imej dan penampilan terbaik serta persepsi terunggul sebagai duta kecil UUM demi membawa nama UUM dan Malaysia di persada dunia.
“Tahniah kepada semua yang telah menjayakan program ini, semoga program mobiliti ini menjadi titik permulaan kepada kejayaan yang lebih gemilang dan semua pelajar dapat menjalani program ini dengan lancar, selamat pergi dan pulang,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Program, Ardina Putri Syafeera Mohd Amy Azhar berkata, program ini bertujuan menyediakan kepimpinan muda daripada pelbagai latar belakang untuk berkongsi idea, pengalaman dalam persekitaran yang kondusif penuh inspirasi.
“Australia, sebagai destinasi pilihan memandangkan sistem pendidikan yang cemerlang dan pembangunan kepimpinan yang menyediakan pelbagai peluang pembelajaran serta pendedahan budaya yang unik.
“Sepanjang acara diadakan peserta didedahkan dengan pelbagai aktiviti menarik seperti seminar kepimpinan, kuliah, melawat institusi pendididkan yang berprestij dan interaktif,” ujarnya.