Oleh: Nordiana Shafiee
Gambar oleh: Shamsaimi Ezil
UUM ONLINE: Pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Universiti Utara Malaysia (UUM) dan NAMA Foundation (NAMA) memenuhi agenda pengantarabangsaan yang digariskan dalam melonjakkan nama universiti di persada antarabangsa.
Majlis Menandatangani MoU antara kedua pihak menyaksikan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Mohd Azizuddin Mohd Sani mewakili UUM, manakala Ketua Pegawai Eksekutif NAMA, Dr. Saleh Mubarak Bazead menandatangani dokumen tersebut di Balai Tamu, pagi tadi.
Naib Canselor, Prof. Dato' Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, kerjasama ini menunjukkan sokongan NAMA untuk meningkatkan kecemerlangan pendidikan dan usaha penyelidikan UUM, malah banyak aktiviti kerjasama yang boleh diterokai bersama.
Menurutnya, UUM berusaha untuk meningkatkan keterlihatan global melalui aktiviti akademik dan antarabangsa yang menjadi aspek penting dalam arena antarabangsa.
"UUM berbesar hati untuk bekerjasama dengan NAMA Foundation sebagai peneraju dalam pembangunan mampan dan sokongan komuniti. Usaha global NAMA dalam pendidikan dan pemerkasaan komuniti adalah sejajar dengan misi UUM untuk memacu perubahan positif melalui pengetahuan dan kepimpinan.
"Kerjasama ini akan meningkatkan kualiti pendidikan UUM melalui pertukaran staf, kerjasama penyelidikan dan persidangan antarabangsa, malah NAMA Foundation turut membantu menyokong matlamat universiti untuk menjadi hab pendidikan terkemuka dan sejajar dengan misi UUM untuk menyediakan peluang akademik terbaik," katanya menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Dr. Mohd Azizuddin.
Sementara itu, Dr. Saleh Mubarak merakamkan penghargaan terima kasih kepada UUM atas pemeteraian MoU bersejarah antara NAMA Foundation dan UUM.
Menurutnya, NAMA terkenal dengan dedikasi untuk memperkasakan bidang pendidikan dan mengukuhkan badan bukan kerajaan (NGO) di peringkat global.
Katanya, kehadiran NAMA di Sintok mencerminkan dedikasi bersama antara dua institusi untuk menjalinkan kerjasama strategik yang melibatkan Ghazali Shafie Graduate School of Government (GSGSG) dan Institut Kecemerlangan Pengajian Baitulmaqdis (IEIJS).
"Kita optimis bahawa kerjasama ini akan berpanjangan dan memberi manfaat kepada NAMA dan juga UUM," katanya.
Di akhir majlis, Naib Canselor hadir menyantuni Dr. Saleh Mubarak dan merakamkan gambar kenangan bersama.
Hadir sama, Penasihat Undang-undang, Prof. Madya Dr. Khadijah Mohamed; Dekan GSGSG, Prof. Dr. Rusdi Omar dan Pengarah IEIJS, UUM, Prof. Madya Dr. Aminurraasyid Yatiban.