Oleh: Muhammad Hafidz Baharudin
Gambar oleh: CIAC
UUM ONLINE: Sesi taklimat pra pelepasan pelajar mobiliti outbound telah diadakan oleh Pusat Hal Ehwal dan Kerjasama Antarabangsa (CIAC) di Auditorium 2, Perpustakaan Sultanah Bahiyah, baru-baru ini.
Pengarah CIAC, Prof. Madya Dr. Arpah Abu Bakar berkata, peluang yang diberikan ini wajar dimanfaatkan sebaiknya dan rebutlah peluang yang diberikan UUM untuk belajar sesuatu yang baharu.
Pelajar turut diberikan taklimat oleh Pengurus Mobiliti CIAC, Dr. Shazwanis Shukri yang bertujuan menyalurkan maklumat berkenaan persediaan sebelum, semasa dan selepas program mobiliti outbound.
Beliau turut berpesan kepada semua pelajar supaya tetap menjaga imej dan nama baik UUM sepanjang keberadaan mereka di negara luar.
Seramai 60 orang pelajar UUM telah berjaya menempatkan diri di 17 universiti luar negara antaranya Universitas Gadjah Mada, Ankara Yildirim Beyazit University, Montpellier Business School dan University of Vaasa.
Dalam perkembagan lain, CIAC telah meraikan pelajar mobiliti inbound semester A232 sesi 2023/2024 di Managers Coffee.
Majlis dihadiri oleh wakil-wakil dari pusat pengajian ini bertujuan meraikan pelajar mobiliti inbound yang telah berjaya menamatkan program pertukaran pelajar bagi semester tersebut.
Sementara itu, pelajar pertukaran dari Oriental University, Uzbekiztan, Kobulov Temurbek Kosimbek Ugli berkata, beliau berterima kasih kepada UUM kerana telah memberikan pengalaman yang baru melalui pelbagai aktiviti yang telah dianjurkan oleh pihak CIAC sepanjang berada di sini.
CIAC turut menganjurkan program ‘CIAC – Shoreline Oasis: Mangrove Reforestation’ di Pulau Langkawi dengan menanam pokok bakau di tebing sungai, muara dan sepanjang pesisir pantai bagi mengurangkan hakisan pantai disebabkan oleh ombak dan fenomena air pasang.
Pokok bakau ini bukan sahaja membantu mengurangkan hakisan pantai tetapi juga menjadi habitat kepada hidupan air.
Program siri ketiga anjuran CIAC itu merupakan kesinambungan usaha dalam memelihara ekosistem marin dan kawasan pantai sekitar Pulau Langkawi, sekali gus membantu aktiviti pelancongan di pulau ini.
Selain itu, CIAC juga menganjurkan program ‘Career Compass: Steps to Success’ dengan kerjasama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kedawang.
Program ini adalah sebahagian daripada aktiviti Knowledge Transfer Program (KTP) yang bertujuan membantu meningkatkan pengetahuan dan membuka minda pelajar SMK Kedawang bagi mengenalpasti haluan pengajian selaras dengan cita-cita mereka.
Di samping itu, CIAC juga melakukan aktiviti University Social Responsibility (USR) dengan membersih dan menceriakan kawasan sekitar sekolah tersebut dengan penyertaan 40 peserta termasuk pelajar mobiliti inbound dan staf CIAC.