All News

FICT BERHASRAT BANGUNKAN ‘ROAD MAP’ STANDARD PENGURUSAN KOPERASI ISLAM DUNIA BERSAMA IBS

fictpic

Oleh: Dr. Amirul Faiz Osman

Gambar oleh: Muhammad Nazmi Abdullah Thani

UUM ONLINE: Resolusi dari Bengkel Antarabangsa Pengurusan Koperasi dan Kepimpinan Islam anjuran Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS) dengan Gabungan Koperasi Islam Thailand (FICT) telah bersetuju untuk membangunkan ‘road map’ atau hala tuju pembangunan standard pengurusan koperasi Islam yang akan menjadi rujukan dunia.

Dekan IBS, Prof. Madya Dr. Selamah Maamor memberi sokongan penuh untuk menjayakan ‘road map’ ini bagi memastikan program telah dirancang dapat merealisasikan hala tuju pembangunan koperasi Islam tercapai.

Menurutnya, antaranya agenda yang dirancang ialah dengan mengadakan muzakarah peringkat antarabangsa untuk membincangkan strategi pembangunan koperasi Islam Thailand termasuklah mengeluarkan garis panduan, memperkemaskan tatacara operasi koperasi serta memantapkan badan kawal selia koperasi Islam.

Sementara itu, Pengarah Koperasi Islam Ibn Affan, Pattani, Abdul Rashid Chema berkata, seperti mana Malaysia yang menjadi rujukan dunia di dalam bidang kewangan dan perbankan Islam, pihaknya di Selatan Thailand turut berhasrat untuk menjadi rujukan dunia di dalam bidang koperasi Islam.

“Kami ingin menjemput pensyarah IBS untuk datang ke Phuket, Thailand pada tahun hadapan memberikan latihan seumpama ini kepada kakitangan koperasi Islam di sana,” katanya.

Dalam bengkel tersebut, tenaga pengajar dari IBS, Institut Koperasi Malaysia (IKMa) dan dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah berkongsi kepakaran dan pengalaman dalam bidang kewangan dan perbankan Islam serta pengurusan koperasi di Malaysia kepada peserta yang terdiri dari ahli pengurusan tertinggi gabungan koperasi Islam di Thailand.

Seramai 30 peserta telah menghadiri bengkel tersebut mewakili empat koperasi Islam dari 35 gabungan koperasi Islam di Thailand yang bergabung di bawah FICT. Empat koperasi Islam tersebut ialah Koperasi Islam Ibn Affan, Koperasi Islam Assiddiq, Koperasi Islam Bina dan Koperasi Islam Ibn Auf.

Koperasi Islam di Selatan Thailand ibarat perbankan Islam di Malaysia di mana masyarakat Islam di Selatan Thailand lebih memilih untuk menyimpan di koperasi berbanding di bank.

Ini terbukti bahawa aset FICT sahaja berjumlah lebih kurang THB 7 bilion, manakala aset terkumpul Koperasi Islam Ibn Affan bernilai THB 3 bilion dengan jumlah ahli terkumpul untuk gabungan FICT ialah seramai lebih 300,000 ribu ahli.

Hadir sama, Pengerusi FICT, Baba Abdulloh Akem yang berpendapat bengkel ini perlu diadakan lagi pada siri yang seterusnya memandangkan banyak perkara lagi yang perlu dipelajari oleh pihak koperasi Islam di Thailand.