All News

PELAJAR IBS JAYAKAN PROGRAM MOBILITI DI THAKSIN UNIVERSITY, THAILAND

mobiliti thaksinpic

Berita dan gambar oleh: Dr. Mohd Adib Abd Muin

UUM ONLINE: Bagi mengukuhkan hubungan akademik dan budaya antara Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Thaksin University, Thailand, seramai 37 pelajar sarjana muda dan pascasiswazah dari Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS) telah mengikuti program mobiliti ke Thaksin University selama empat hari, baru-baru ini.

Program mobiliti ini diadakan bersama dengan Fakulti Kemanusiaan dan Sains Sosial (HUSO), Thaksin University.

Ketua pengiring, Dr. Mohd Adib Abd Muin berkata, pelajar yang hadir ke program mobiliti ini harus mengambil ruang dan peluang sepenuhnya dalam memastikan nilai tambah dapat diperoleh secara maksimum dengan membina jaringan yang baik, mengambil input yang berguna dan cuba berusaha memperbaiki ilmu pengetahuan, karekter dan pelbagai kemahiran sepanjang program berlangsung.

“Objektif program mobiliti ini adalah untuk beri pendedahan kepada pelajar IBS dalam meningkatkan ilmu pengetahuan, pembentukan karekter, penghasilan kemahiran dan suasana pembelajaran di tempat yang berbeza.

“Selain meningkatkan kerjasama akademik dalam bidang penyelidikan dan pengajaran antara IBS, UUM dan HUSO, Thaksin University, program ini memberi peluang kepada pelajar dan pensyarah untuk memahami dan menghargai budaya Thailand,” katanya.

Antara aktiviti program yang dilakukan adalah sesi pengenalan dan orientasi di mana peserta telah diberi taklimat mengenai keseluruhan kampus Thaksin University, sistem pendidikan di Thailand dan peraturan serta etika yang perlu dipatuhi sepanjang program.

Lawatan akademik juga turut dilakukan dengan melawat ke perpustakaan, makmal, bilik penginapan dan kemudahan akademik lain di Thaksin University untuk memahami infrastruktur dan pendekatan pengajaran yang digunakan.

Aktiviti terakhir yang dilakukan adalah sesi dialog dan perbincangan antara pelajar dan pensyarah dari kedua-dua universiti untuk berkongsi pengalaman dan idea mengenai pelbagai isu akademik dan budaya.

Sementara itu, pelajar Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Muamalat, Musni Awatif Mohamad Lothefi berkata, banyak perkara yang dapat dipelajari hasil dari program mobiliti ini antaranya adalah meningkatkan kefahaman mengenai isu dan perspektif global berkaitan dengan ilmu yang diceburi dan pengurusan masa dalam melakukan sesuatu perkara terutamanya melibatkan program antarabangsa, perlu menepati setiap waktu yang dijadualkan agar kita dinilai seorang yang berdisiplin dan menghormati masa.

Bagi pelajar Ijazah Sarjana Muda Kewangan dan Perbankan Islam, Nur Irdina Yusoff, manfaat yang diperoleh hasil program mobiliti tidak berkredit ini membolehkan diri beliau mengamalkan ilmu yang dipelajari sepanjang berada di kampus agar menjadi seorang yang berwibawa, berdikari serta berkemampuan untuk melakukan setiap tugas yang diamanahkan dengan cemerlang.

Sementara itu, pelajar Ijazah Sarjana Kewangan dan Perbankan Islam, Najib Mahfuzh berkata, program mobiliti ini berjaya mengukuhkan lagi hubungan dua hala antara UUM dan Thaksin University melalui pelbagai program yang dirancang, di samping memberi peluang untuk mempelajari bahasa dan budaya orang Thailnda secara lebih mendalam, sekali gus ini memberikan pengalaman manis buat diri beliau yang berasal dari Indonesia.

Pengalaman mendalami budaya yang berbeza mampu meningkatkan kefahaman dan penghargaan terhadap budaya Thailand, memupuk toleransi dan sikap hormat-menghormati antara budaya. Malah, pensyarah yang turut serta berjaya membina jaringan profesional dengan rakan sejawat di Thaksin University untuk kerjasama dalam bidang inovasi, pengajaran, penyelidikan, penerbitan dan khidmat masyarakat.

Program mobiliti ke HUSO, Thaksin University ini turut melibatkan pensyarah kanan IBS, Dr. Mohd Badrul Hakimi Daud.