Oleh: Nasrol Hadi Ahmad Shukeri
Gambar oleh: Ahmad Laqis Nurun Ihsan
UUM ONLINE: Unit Bahasa Antarabangsa (UBA), Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP) telah mengadakan “Program Belajar Bahasa, Kenali Budaya” bagi pelajar yang mengambil kursus Bahasa Melayu sebagai Bahasa Asing dan Asas Bahasa Melayu untuk Penutur Asing pada semester ini.
Program yang berlangsung pada 9 Julai lalu melibatkan penyertaan pelajar antarabangsa seperti dari Uzbekistan, Jepun, China, Indonesia dan Bangladesh.
Pengarah Program, Che Hasniah Ya’acob berkata, tujuan utama program ini adalah untuk memberi ruang dan peluang kepada pelajar antarabangsa merasai sendiri pengalaman sebenar tentang adat dan budaya masyarakat Melayu terutamanya melibatkan permainan tradisional.
Menurutnya, antara permainan tradisional yang diperkenalkan ialah permainan congkak, batu selambut, lompat getah, permainan teng-teng dan boling kelapa.
Katanya, pendedahan kepada elemen budaya ini memberi nilai tambah kepada pelajar antarabangsa yang mengambil kursus Bahasa Melayu, secara tidak langsung membantu pelajar menyulam budaya dalam pembelajaran bahasa.
Selain permainan tradisional, budaya masyarakat Melayu juga turut diperkenalkan seperti cara memakai pakaian tradisional (kain batik dan kain pelikat), adab semasa makan, adab bercakap dengan orang sekeliling dan sebagainya.
Pelajar Semester 2, Sarjana Muda Perakauan (Sistem Maklumat), Salem Abdulraheem Salem Baqader berkata, dia sangat teruja dengan beberapa jenis permainan tradisional yang dimainkan bersama-sama dengan rakan-rakan dan mengharapkan dapat diteruskan pada masa hadapan.
Menurutnya dari Yaman, program ini juga dapat mengeratkan hubungan antara pelajar-pelajar antarabangsa dan juga hubungan antara pelajar serta pensyarah yang terlibat.