Oleh: Siti Fatimah Abdullah
Gambar oleh: Hairul Nizam Zahari dan Shamsaimi Ezil
UUM ONLINE: 'ASEAN University Network - Student Affairs Network (AUN-SAN) 5th Annual Meeting' menjadi platform bagi delegasi berkongsi idea dan amalan yang akan membantu pelajar berkembang maju dan menjadi lebih aktif dalam usaha mencapai kejayaan.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), juga merangkap Pengerusi Sekretariat Rangkaian Hal Ehwal Pelajar, ASEAN University Network (AUN), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed berkata, pertemuan di EDC-UUM, Universiti Utara Malaysia (UUM) merupakan mesyuarat yang signifikan dalam usaha menyelaraskan aktiviti pelajar untuk memperkasa dan membangunkan mahasiswa untuk menjadi pemimpin serantau.
Beliau yakin perbincangan yang berlangsung memberi solusi, sumbangan yang ketara kepada kemajuan hal ehwal pelajar di institusi masing-masing di samping bergerak seiringan sambil mengharungi perubahan dan cabaran dengan daya tahan, kreativiti serta visi bersama untuk masa depan.
“Bagi pihak UUM, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada perwakilan yang telah mengembara dari pelbagai negara untuk menyertai majlis yang penting ini. Kehadiran anda menekankan komitmen kolektif kami untuk memajukan hal ehwal pelajar di seluruh rantau ASEAN.
“Terima kasih yang tidak terhingga kepada delegasi yang berada di sini sejak hari pertama sehingga ke hujungnya, saya yakin kita dapat belajar banyak perkara, berkongsi pandangan serta saling belajar antara satu sama lain. Segala sumbangan, pembentangan, idea ketika mesyuarat mahupun perbincangan meja bulat akan dipraktikkan kelak demi meningkatkan hal ehwal pelajar.
“Sesetengah universiti berpeluang untuk mengaplikasikan hasil perbincangan dan saya berharap semua dapat melakukan yang terbaik ketika menguruskan hal ehwal pelajar agar bergerak maju ke hadapan. Mesyuarat seterusnya bakal berlangsung di Brunei semoga delegasi membawa pulang kenangan manis ketika berada di sini,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada sekretariat dan para pelajar yang telah memberi komitmen dan melakukan yang terbaik walaupun dalam kesibukan jadual yang padat dan peperiksaan yang bakal menjelang.
Menurutnya, menerusi penyertaan ini, pelajar dapat belajar banyak perkara dan menimba pengalaman dengan membantu delegasi dan membina jaringan demi karier masa depan.
Majlis penutup yang telah berlangsung pada hari terakhir program tersebut juga menyaksikan sesi perkongsian khas oleh Pengarah Pusat Hal Ehwal dan Kerjasama Antarabangsa (CIAC), Prof. Madya Dr. Arpah Abu Bakar yang telah membuka tawaran kepada semua delegasi bagi menjalinkan kerjasama strategik di peringkat antarabangsa menerusi penganjuran program mobiliti, 'summer camp' serta pertukaran pelajar dan tenaga pakar.
Terdahulu, delegasi diraikan pada satu majlis makan malam di EDC–UUM yang menyaksikan persembahan kebudayaan dan sesi ramah mesra.