All News

AUN-SAN MAMPU TINGKATKAN SENTUHAN KEMANUSIAAN MAHASISWA ASEAN

aunsan pic

Oleh: Siti Fatimah Abdullah

Gambar oleh: Hairul Nizam Zahari

UUM ONLINE: Asean University Network – Student Affairs Network (AUN-SAN) 2024 membuka peluang untuk membina hubungan yang lebih kukuh, membangunkan pendekatan inovatif dan mewujudkan persekitaran yang menyokong pelajar menuju kecemerlangan.

Pengerusi Education Malaysia Global Services (EMGS), Dr. Abdul Razak Ahmad berkata, orang muda alaf ini dan generasi Z membentuk dunia semasa dan mereka juga berupaya mengubah gaya hidup semua orang.

“Generasi kini hidup dalam persekitaran Uber, Instagram, Grab, Gojek, Snap, Whatsapp dan permainan atas talian yang semuanya menjadi bukti betapa belia akan menjadi penentu hari esok. 

“Kita mesti bertanya kepada diri sendiri, kenapa pelajar kita di rantau ini, kurang didengari berbanding rakan di seluruh dunia? Adakah kita telah melupakan tujuan sebenar pendidikan dalam mengejar kecemerlangan akademik atau terlalu tertumpu   menyediakan pelajar untuk pekerjaan?” ujarnya.

Jelasnya, bilik kuliah harus bergema  lebih daripada sekadar teori dan teknik bahkan mesti merangkumi perbahasan mengenai etika, perbincangan mengenai tanggungjawab sosial dan dialog hala tuju manusia.

“Kepada mereka yang bertanya, mengapa saya perlu mengambil berat tentang peristiwa yang berlaku yang jauh beribu-ribu batu? Saya katakan, dalam dunia hari ini, tidak ada yang jauh.

“Pembantaian di Palestin, pemanasan global, perubahan iklim, lapisan ais yang mencair di Artik, dan kekejaman dalam perang saudara Sudan  bukan menjadi masalah orang lain, sebaliknya masalah mereka adalah masalah kita. Mereka mencabar hati nurani dan menguji rasaan kemanusiaan bersama.

“Kita semua mempunyai kuasa untuk mengubahnya kerana institusi pengajian tinggi kita bukan sahaja mengeluarkan ijazah, tetapi juga menjadi inkubator pemikiran kritis, penaakulan etika dan tanggungjawab sosial,” katanya di EDC-UUM, pagi tadi.

Dr Abdul Razak mengajak pentadbir universiti ASEAN dan pelajar universiti di rantau ini untuk terus  memupuk minda, jiwa, pengetahuan, kebijaksanaan yang berteraskan nilai-nilai sejagat.

Ujarnya Universiti-universiti ASEAN mesti didorong ke arah moral yang lebih tinggi yang merentasi  sempadan negara, merintis perubahan, menjadi pemimpin dan inovator dasar untuk membentuk dunia yang lebih baik.

“Jadi, tanya diri kita sendiri, adakah kita melengkapkan pelajar kita dengan cita-cita yang betul dan kemahiran untuk cabaran yang akan mereka hadapi? 

“Di sinilah pentingnya jabatan Hal Ehwal Pelajar kerana eranan anda diperluaskan untuk melengkapkan pengajaran akademik dan sahsiah. Anda mesti memberi inspirasi kepada pelajar untuk melihat kaitan antara pengajian mereka dan dunia yang lebih luas,” tambahnya.

Sementara itu, Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dato' Dr. Mohd Foad Sakdan amat berbesar hati kerana berpeluang menjadi tuan rumah acara penting ini.

“Bagi pihak UUM, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua perwakilan atas penyertaan dan komitmen yang diberikan. Kehadiran anda di sini hari ini adalah penunjuk dedikasi kolektif kami untuk meningkatkan pengalaman pelajar di seluruh rantau ASEAN khususnya.

“Beberapa tahun kebelakangan ini adalah zaman  mencabar bagi kita semua untuk menghidupkan semula komitmen terhadap pembangunan dan peningkatan hal ehwal pelajar di seluruh universiti ASEAN.

Mengangkat tema, ‘The Change in the World of Student Affairs’ adalah tepat pada masanya dan beliau optimis perbincangan ini akan memberi sumbangan yang ketara kepada kemajuan hal ehwal pelajar di institusi masing-masing.

“Justeru gunakan peluang ini untuk membina hubungan yang lebih kukuh, membangunkan pendekatan inovatif dan mewujudkan persekitaran yang menyokong untuk pelajar kita berkembang maju,” ujarnya.