Oleh: Madihah Zahira Mohamad Zaki (Pelajar Praktikum dari SMMTC)
Gambar oleh: Multimedia ISEP ’24
UUM ONLINE: Persatuan Komunikasi (PERKOM), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan program International Student Mobility Program 2024 (ISEP 2024), baru-baru ini melibatkan 30 pelajar antarabangsa.
Menerusi program mobiliti inbound tidak berkredit yang dijalankan selama 14 hari, UUM menjadi destinasi bagi menjayakan program tersebut dengan kerjasama Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC) dan Inapan Siswa MAS (Inasis MAS).
Pengarah program, Muhammad Syafiq Haikal Safie berkata, ISEP 2024 membantu universiti untuk menyerlahkan tarikannya serta meningkatkan reputasi sebagai institusi yang mesra dan dinamik.
“Penglibatan mahasiswa dari Universitas Mataram dan Universitas Pancasila sebagai pelajar mobiliti ini secara tidak langsung bantu mempromosi UUM sempena Ulang Tahun UUM yang ke-40 serta memeriahkan Tahun Melawat UUM sepanjang tahun 2024 dengan beberapa pengisian program melibatkan fasiliti serta kemudahan kelas pertama yang disediakan oleh universiti kepada pelajar,” katanya.
Penasihat PERKOM, Dr. Mohd Zuwairi Mat Saad berkata, ISEP 2024 bukan sahaja dapat membentuk modal insan yang berkualiti dan seimbang dalam kalangan mahasiswa, malah dapat menawarkan kelebihan yang boleh mempromosikan dan meningkatkan reputasi serta daya tarikan institusi pengajian tinggi terutamanya UUM.
Beliau mengalu-alukan kehadiran pelajar antarabangsa kerana langkah itu meningkatkan kedudukan dan reputasi global universiti yang mana penyertaan mereka secara tidak langsung dapat mengeksklusifkan sambutan UUM 40 Tahun.
Aktiviti yang dijalankan bagi promosi UUM 40 Tahun dan Tahun Melawat UUM adalah lawatan ‘Sintok Edu-Tourism’ yang meliputi lawatan UUM secara menyeluruh seperti lawatan ke Perpustakaan Sultanah Bahiyah, Muzium Pengurusan UUM, Hidden Lake, Go-Kart, berbasikal sekitar UUM dan berkayak di Tasik Guthrie.