Oleh: Madihah Zahira Mohamad Zaki (Pelajar Praktikum dari SMMTC)
Gambar oleh: Muhammad Amir Afiq Jazlan (Multimedia ISEP ‘24)
UUM ONLINE: Buat julung kalinya Persatuan Komunikasi (PERKOM), Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC) menganjurkan The International Student Mobility Programme 2024 (ISEP ‘24) yang dirasmikan di Dewan Bunga Raya, Inasis MAS, Universiti Utara Malaysia.
Dekan Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC), Prof Madya. Dr. Mohd Khairie Ahmad berkata, program dengan kerjasama Inasis MAS ini membabitkan 35 pelajar mobiliti dari Universitas Mataram dan Universitas Pancasila, Indonesia.
Jelasnya, bertemakan “Sintok Discovery: Academic & Cultural Exploration” ISEP ‘24 bertujuan menggalakkan peserta untuk meneroka dunia akademik dan budaya dengan lebih jauh sepanjang tempoh program berlangsung.
“Himpunan pelajar mobiliti dari tiga jurusan iaitu komunikasi, sosiologi dan hubungan antarabangsa memberi peluang kepada peserta menimba pengalaman misalnya memasuki kelas yang sesuai dengan jurusan masing-masing sekali gus mempromosikan pengajian di UUM.
“Selain itu ISEP ‘24 juga berupaya merancakkan lagi Tahun Melawat UUM dan Sambutan UUM 40 Tahun,” ujarnya.
Sementara itu, pengarah program, Syafiq Haikal berkata, pelbagai aktiviti menarik menanti peserta sama ada berbentuk ilmiah, komuniti, kebudayaan, sejarah, riadah dan kembara.
Ujarnya, setiap pelajar mobiliti ditemani seorang pelajar UUM (sistem buddies) agar dapat beradaptasi antara satu sama lain.
“Gabungan pelajar UUM bersama pelajar mobiliti yang akan bersama-sama menjalankan aktiviti tersebut telah mewujudkan hasrat agar ISEP ‘24 ini dapat membentuk setiap individu mempunyai perwatakan yang holistik, bersedia untuk berkhidmat kepada masyarakat di peringkat tempatan dan global,” katanya.
Hadir sama, Dr. Mohd Zuwairi Mat Saad (Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Penasihat PERKOM), dan Felo Inasis MAS, Sharima Ruwaida Abbas.