Oleh: Mohd Mahadi Mohd Razani
Gambar oleh: SOG
UUM ONLINE: Jawatankuasa Seminar dan Latihan, Pusat Pengajian Kerajaan telah menganjurkan International Mini Conference: Collaborative Insights from Malaysia dan Indonesia, baru-baru ini.
Mini seminar yang dianjurkan ini adalah bersempena dengan kunjungan dari ASEAN Academic Association of Indonesia yang diketuai oleh Prof. Dr. Tulus Suryanto yang merupakan Ketua Pembina Yayasan, Sekolah Tinggi Ekonomi Dan Bisnis Islam (STEBI) Lampung, Indonesia.
ASEAN Academic Association of Indonesia ini terdiri daripada wakil-wakil daripada universiti awam dan swasta di Indonesia yang meliputi 10 institusi pengajian tinggi iaitu Universitas Komputer Indonesia (UNIKOM) Bandung, Universitas Islam Negeri (UIN) Alauddin Makassar, Universitas Jenderal Achmad Yani (UNJANI) Bandung, Universitas Islam Negeri (UIN) Sulthan Thaha Saifuddin Jambi, Universitas Panglangka Raya (UPR) Kalimantan Tengah, Universitas Islam Negeri (UIN) Antasari Banjarmasin, Institut Agama Islam Negeri (IAIN) Metro Lampung, Universitas Djuanda Bogor (UNIDA), Institut Agama Islam Negeri (IAIN) Pape-Pare Sulawasi Selatan dan Sekolah Tinggi Ekonomi Dan Bisnis Islam (STEBI) Lampung University.
Delegasi seramai 76 orang itu terdiri daripada rektor, 10 Dekan/wakil Dekan dan 66 pensyarah disambut oleh Dekan SOG, Prof. Madya Ts. Dr. Mohamad Sukeri Khalid dan penjawat SOG sebelum dibawa ke Pusat Pengajian Kerajaan untuk pembentangan kertas kerja seminar dan penyerahan Surat Hasrat (Letter of Intent).
Dr. Mohamad Sukeri berkata, melalui program ini diharapkan dapat mewujudkan jalinan kerjasama yang erat antara UUM dan Asean Academic Association of Indonesia bagi mencapai matlamat dan agenda universiti selaras dengan kehendak Petunjuk Prestasi Utama (Key Performance Indicator) institusi masing-masing.