Oleh: Dr. Nurul Jawahir Md Ali dan Dr. Byabazaire Yusuf
Gambar oleh: Md Nasir Ahmadan dan Aiman Azmi
UUM ONLINE: Pusat Pengajian Pendidikan (SOE), Universiti Utara Malaysia telah menerima kunjungan Universitas Islam Negeri (UIN) Mataram, Indonesia yang merupakan pencapaian penting dalam memupuk kerjasama antarabangsa melalui pelbagai aktiviti kolaboratif.
Program Jalinan Pendidikan Serumpun antara Fakultas Tarbiyah dan Keguruan (FTK), UIN Mataram dan SOE telah diadakan di Bilik Mesyuarat Saujana, SOE, baru-baru ini yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Jaringan Antarabangsa dan Ranking/Mobiliti/MOU/MOA/LOI, SOE.
Delegasi FTK UIN Mataram yang diketuai oleh Timbalan Dekan Akademik, Prof. Dr. Saparudin telah memulakan lawatan dengan melawat Welcome Centre, Muzium Pengurusan dan U-Assist, seetrusnya ke SOE.
Dekan SOE, Prof. Madya Dr. Mohamad Khairi Othman telah menyambut kedatangan delegasi bersama timbalan-timbalan dekan dan Ahli Jawatankuasa Jaringan Antarabangsa dan Ranking/Mobiliti/MOU/MOA/LOI, SOE.
Dr. Mohamad Khairi telah memperkenalkan organisasi serta barisan penjawat SOE serta visi, misi, program akademik yang ditawarkan dan juga jurnal penerbitan di bawah SOE.
Sementara itu, Dr. Saparudin turut menerangkan tentang program akademik dan inisiatif antarabangsa UIN Mataram. Kedua-dua institusi ini kemudian membincangkan potensi kerjasama masa depan, termasuk mobiliti staf dan perkongsian penyelidikan.
Pada sebelah petang, sesi wacana perkongsian ilmiah telah dianjurkan dengan melibatkan pembentang dari kedua-dua universiti.
Pembentangan utama telah disampaikan oleh Prof. Dr. Fauziah Abdul Rahim dari SOE, UUM diikuti oleh Prof. Dr. Saparudin dari FTK, UIN Mataram.
Wacana ini turut melibatkan perkongsian penyelidikan dari kalangan staf akademik serta pelajar SOE, UUM dan FTK, UIN Mataram.