All News

UUM CETUS SEMULA KERJASAMA ERAT UNIVERSITI ASEAN DENGAN PENGANJURAN MESYUARAT KE-5 AUN-SAN

mesy ke5 aun

Oleh: Akmal Ahlami Md Rozai

Gambar oleh: JHEP

UUM ONLINE: Universiti Utara Malaysia (UUM) bakal menjadi tuan rumah bagi penganjuran Mesyuarat Ke-5 ASEAN University Network - Student Affairs Network (AUN-SAN) mulai 10 hingga 12 Julai 2024 ini. 

Mesyuarat tersebut akan dihadiri oleh Timbalan-timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) serta pegawai daripada universiti-universiti yang menjadi ahli di bawah rangkaian hal ehwal pelajar AUN.

Dekan Hal Ehwal Pelajar, Prof. Madya Dr. Massudi Mahmuddin berkata, tujuan utama mesyuarat ini diadakan adalah bagi menyediakan platform kepada pemimpin serantau untuk bertemu dan meningkatkan kerjasama yang lebih erat sesama ahli-ahli Universiti ASEAN, selain membincangkan pelbagai perkara penting seperti mempromosi mobiliti pelajar dan akademik di rantau Asia Timur selain daripada merangka program serta aktiviti peringkat antarabangsa yang berimpak tinggi.

Beliau telah mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa pelaksana di mana program tersebut akan dikendalikan sepenuhnya oleh Jabatan Hal Ehwal Pelajar (HEP) UUM dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) serta pusat tanggungjawab yang berkaitan. Turut hadir, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Muhammad Iskandar Zulkarnain Muhammad Suhaimi.

Tema mesyuarat pada tahun ini iaitu 'The Change in the World of Student Affairs' amat bertepatan kerana pandemik yang melanda seluruh dunia pada 2020 telah membawa perubahan besar dan drastik kepada corak pengurusan serta budaya kerja di semua institusi pendidikan tinggi seluruh dunia, khususnya perubahan dalam konteks pengendalian aktiviti akademik dan aktiviti pembangunan pelajar.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UUM, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed selaku pengerusi bagi rangkaian Hal Ehwal Pelajar AUN berhasrat untuk menggerakkan semula rangkaian tersebut yang kali terakhirnya bermesyuarat pada 2020 di Chiang Mai University bagi memperkasa semula hubungan strategik dalam kalangan ahli AUN-SAN.

Selain itu, UUM yakin bahawa rangkaian Hal Ehwal Pelajar AUN merupakan wadah bagi universiti-universiti ahli AUN untuk berkoordinasi dalam semua aktiviti pelajar bagi memperkasakan dan membangunkan pelajar-pelajar institusi masing-masing untuk menjadi pemimpin serantau.

AUN-SAN juga merupakan platform bagi Pejabat Hal Ehwal Pelajar untuk berkongsi idea dan amalan yang akan membantu pelajar berkembang dan menjadi lebih aktif dalam usaha mereka mencapai kejayaan di peringkat global.

Ucaptama dan perasmian mesyuarat tersebut bakal disempurnakan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Prof. Dr. Azlinda Azman.