Berita dan Gambar Oleh: Siti Khadijah Mohamad Nadzir dan Abdul Rahim Sabri (Pelajar Praktikum UUM)
HEPA ONLINE: Delegasi Prince of Songkhla University (PSU), Thailand yang diketuai oleh Supote Kovitaya, Naib Presiden bagi Pembangunan Pelajar dan Alumni, PSU telah memilih U-Assist sebagai salah satu lokasi semasa berkunjung ke Universiti Utara Malaysia (UUM) baru-baru ini.
Beliau bersama 19 orang delegasi telah diberi taklimat khusus oleh Pengarah U-Assist, Suraya Deraman mengenai setiap servis yang ditawarkan meliputi akademik, visa, kewangan, kaunseling dan smart access secara keseluruhannya.
Sesi soal jawab juga telah memberi peluang kepada kedua-dua pihak untuk berkongsi tadbir urus operasi dan perkhidmatan kaunter yang ditawarkan di universiti masing-masing.
Selain itu, pihak delegasi turut memberikan perhatian sepenuhnya mengenai aplikasi seperti UUM Apps yang serba lengkap dalam memudahkan urusan pelajar dan juga memberi manfaat kepada staf.
“Kredit kepada pihak UUMIT kerana membangunkan kemudahan seperti ini kepada warga kampus,” ujar Suraya ketika memberi penerangan.
“Terima kasih kepada U-Assist UUM, hari ini kami telah mempelajari pelbagai ilmu mengenai perkhidmatan kepada pelajar yang telah dimodenkan mengikut peredaran masa kini.
“Semoga lawatan kali ini dapat dimanfaatkan oleh semua kakitangan PSU untuk menjadikan U-Assist sebagai contoh dalam memantapkan lagi perkhimatan dan servis kampus kami di sana”, ujar Supote Kovitaya.
Beliau turut menyatakan bahawa dirinya sudah pernah berkunjung ke UUM beberapa kali dan melihat penambahbaikan UUM terutamanya dari segi pendigitalan kampus dan perubahan yang dilakukan tersebut amat membantu pelajar untuk menyelesaikan cabaran mereka dengan lebih cepat dan efisien.
“Saya fikir idea ini sangat berguna untuk membuat perubahan di dalam sistem PSU bagi perkhidmatan kepada pelajar pada masa hadapan kerana melihat pengurusan di U-Assist yang cukup pantas dalam membantu pelajar”, ujar beliau lagi.
Universiti yang bersempadan dengan Malaysia ini mengadakan lawatan berpandu bertujuan untuk mempelajari sistem pengoperasian dan telah menjadikan U-Assist sebagai penanda aras dalam memahami pengurusan yang cekap bagi menangani cabaran pelajar pada masa kini.