Berita dan gambar Prof. Madya Dr. Norazlina Abd Wahab/UUM Today
BANGKOK, 14 Mei – Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Federation of Islamic Cooperative Thailand (FICT) telah menandatangani Surat Hasrat (Letter of Intent) di Al Meroz Hotel, baru-baru ini.
Majlis menandatangani LoI antara UUM dan FICT disempurnakan oleh Dekan Pusat Pengajian Perniagaan Islam, Prof. Madya Dr. Selamah Maamor selaku wakil kepada Naib Canselor UUM, manakala FICT diwakili oleh Pengerusi Thailand Islamic Cooperative Network, Dr. Worawit Baru bersempena penganjuran Thailand Islamic Finance Forum.
Dr. Selamah berkata, UUM menyambut baik hasrat untuk menjalin kerjasama bersama Koperasi Islam Thailand dalam bentuk latihan, penyelidikan, penerbitan dan projek komuniti untuk manfaat ahli koperasi Islam Thailand.
Untuk rekod, IBS telahpun menjalinkan kerjasama bersama FICT melalui penawaran latihan kewangan Islam oleh pensyarah-pensyarah IBS yang dilaksanakan secara sukarela atas dasar ingin membantu memberikan pendedahan awal kepada pengendali koperasi Islam Thailand.
Pensyarah IBS juga telah mengadakan sesi perkongsian, menjadi panel jemputan forum dalam beberapa persidangan yang diadakan oleh pihak FICT yang menyebabkan FICT ingin meneruskan hasrat ini dengan menandatangani surat hasrat bagi membolehkan jalinan diteruskan pula dengan MoU/MoA kelak.
Pengerusi Thailand Islamic Cooperative Network, Dr. Worawit berterima kasih kepada UUM atas kesudian untuk mengadakan kerjasama ini dan kesudian IBS-UUM untuk membantu FICT dalam mengembang dan memajukan FICT terutama dalam bidang kewangan dan pengurusan Islam.
Hadir sama, Timbalan Pengerusi Thailand Islamic Cooperative Network, Abdulrashed Jehma.