All News

PELAJAR MBA OYAGSB SERTAI SWEDISH INSTITUTE GLOBAL EXECUTIVE PROGRAMME 2024

oya

Oleh Dr. Nazahah Abd RahimGambar OYAGSB/UUM Today

KUALA LUMPUR, 14 Mei – Pelajar Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) OYAGSB, Nik Nurul Fatima Azzahra Mohd Rosli telah terpilih untuk mengikuti program eksklusif yang melibatkan 100 peserta dari seluruh dunia.

Peserta program ini adalah dalam kalangan pemimpin syarikat, eksekutif dan pakar-pakar dalam pelbagai bidang berkaitan ‘sustainability’.

Nik Nurul Fatima Azzahra merupakan pelajar tahun akhir MBA OYAGSB UUM Kampus Kuala Lumpur dan merupakan jurutera kanan yang telah berkhidmat selama 11 tahun bersama TNB.

Beliau bertanggungjawab untuk memimpin unit yang menyelenggara dan menaik taraf stesen-stesen jana kuasa milik TNB.

Menurutnya, pengalaman bersama syarikat tenaga gergasi di Malaysia ini merupakan salah satu faktor beliau terpilih ke program tersebut kerana pengalaman dan pengetahuan beliau dalam bidang tenaga dan impak penjanaan tenaga terhadap manusia dan alam sekitar.

Mengimbau kembali pengalaman Nik Nurul Fatima Azzahra semasa menghantar permohonan untuk program SIGEP ini, beliau diminta untuk menjawab beberapa soalan berbentuk esei (karangan pendek) dan beliau turut memasukkan elemen-elemen ‘sustainability‘ yang dipelajari semasa mengikut kursus OMMU6013 Business Ethics, CSR and Sustainability.

“Ilmu yang diperolehi dari kursus ini telah membantu saya untuk memahami dengan lebih mendalam bekenaan sustainability dan menghubung kait ilmu tersebut dengan bidang kerja.

“Dari situ, saya menggunakan pengetahuan tersebut untuk memgemukakan jawapan yang mengetengahkan isu “Energy Trilemma as Sustainability Challenges” yang telah menarik perhatian juri untuk membawa permohonan saya ke peringkat yang seterusnya,” katanya.

Swedish Institute Global Executive Programme (SIGEP) yang dianjurkan oleh Swedish Institute iaitu sebuah agensi awam di bawah kerajaan Sweden mempromosikan isu-isu penting termasuk kemampanan (sustainability) dan kepimpinan (leadership).

SIGEP adalah program yang bersifat interaktif dan praktikal, yang membentuk kepemimpinan perubahan (change leadership), serta kemampuan untuk menyelesaikan isu-isu kompleks yang melibatkan perniagaan serta membangun jaringan dan kerjasama jangka panjang di antara peserta.

Peserta juga akan mendapat kesempatan untuk berhubung dengan pemain-pemain industri di Sweden terutamanya dalam kalangan usahawan. Program yang berlangsung bermula dari bulan ini sehingga November 2024 melibatkan pelbagai aktiviti secara maya dan fizikal termasuk seminar online dan juga on-site visit di Stockholm, Sweden pada Oktober nanti yang akan dibiayai sepenuhnya oleh pihak Swedish Institute.

Sementara itu, Pengarah Program MBA dan juga pensyarah kursus OMMU6013 Business Ethics, CSR and Sustainability, Dr. Nazahah Abd Rahim berkata, kursus ini bukan sahaja dilihat sebagai salah satu kursus berimpak positif yang berjaya memendekkan jurang di antara pelajar institusi pendidikan tinggi dengan pemegang taruh (stakeholders), malah pelajar telah berjaya mengaplikasikan ilmu yang dipelajari di dalam kehidupan seharian mahupun di tempat kerja.

Menurutnya, ini menunjukkan bahawa kursus tersebut tidak hanya memberikan pemahaman bersihat teoretikal tetapi juga praktikal yang dapat digunakan dalam berbagai konteks.

OMMU6013 Business Ethics, CSR and Sustainability yang merupakan salah satu kursus wajib bagi semua pelajar MBA di OYAGSB dilihat sebagai salah satu kursus yang sangat penting dalam program MBA kerana membahas topik-topik yang signifikan bagi para pemimpin bisnis termasuklah SDG dan ESG.

Melalui kursus ini, pelajar diberi pemahaman yang mendalam tentang pentingnya keselarasan antara praktik bisnis dan tanggungjawab sosial. Ini membantu para pelajar untuk memahami bahawa jangka panjang sesuatu perusahaan tidak hanya bergantung kepada faktor kewangan, tetapi juga pada impak sosial.