All News

IFEX@UUM 2023 PEMANGKIN KERJASAMA BERTERUSAN ANTARA UNIVERSITI

 ifex9nov 

SINTOK –  Penyertaan tujuh pensyarah pelawat sempena minggu pertukaran pensyarah antarabangsa UUM 2023 (IFEX@UUM 2023) ini diharap menjadi pemangkin bagi kerjasama yang berterusan antara universiti dalam program pertukaran pengetahuan dan pengalaman budaya.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dr. Shahimi Mokhtar berkata, pengukuhan dimensi antarabangsa ini pastinya menyumbang kepada pengukuhan hubungan antara universiti melalui program pertukaran tenaga akademik yang menjurus kepada pembangunan profesional kakitangannya bagi meningkatkan pengalaman mereka dalam pembelajaran khususnya.

“Saya yakin melihat melalui program yang dijalankan ini pasti kesemuanya telah berkongsi idea dan pengalaman antara mereka seterusnya akan menterjemahkan pula nanti kepada universiti masing-masing,” sambung beliau ketika berucap merasmikan penutupan program itu di Hotel EDC-UUM.

Dalam pada itu beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua Dekan dan Timbalan Dekan dari UUM atas usaha mereka dalam merancang, melaksana dan menjayakan program ini.

Moga program ini akan menjadi batu loncatan ke arah mewujudkan perkongsian dan persahabatan yang berpanjangan dan terus berkembang ke atas institusi masing-masing.

Pensyarah yang menyertai program ini terdiri dari Agus Mulyana (Universitas Komputer Indonesia), Prof. Dr Ir. Shofwatul Uyun (Universitas Islam Negeri Sunan Kalijaga Yogyakarta), Dr. Masduki (Universitas Islam Indonesia), Dr. Safrilsyah (Universitas Islam Negeri Ar-Raniry), Miftahul Jannah (Universitas Islam Negeri Ar-Raniry), Vera Nova (Universitas Islam Negeri Ar-Raniry) dan Ayu Anastaya Rachman dari Universitas Bina Mandiri Gorontalo.

Program tujuh hari ini dibawah kelolaan Pusat Hal Ehwal dan Kerjasama Antarabangsa (CIAC) UUM.