All News

HASIL PERKHIDMATAN TERBAIK TARUHAN BESAR MENANGI HATI PELAJAR ANTARABANGSA

 

bem kpt

Berita dan Gambar oleh: Syamimi Mohd Zaini

HEPA ONLINE : Kewujudan pusat perkhidmatan pelajar di Institut Pendidikan Tinggi seperti di U-Assist, Universiti Utara Malaysia (UUM) boleh dijadikan platform terbaik dalam usaha menarik minat pelajar antarabangsa untuk melanjutkan pengajian peringkat tertinggi di Malaysia. 

Begitulah sudut pandang yang dikongsikan oleh Pengarah Bahagian Education Malaysia (BEM), Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Dato’ Haji Shushilil Azam Shuib.

Menurut Shushilil Azam, kemudahan seperti yang terdapat di U-Assist memberi peluang kepada pelajar antarabangsa mendapatkan penyelesaian dan perkhidmatan terbaik. 

Kehadiran para pelajar asing ke Malaysia menjadi aset besar dan penyumbang kepada ekonomi negara dan kehebatan dalam memberi pelayanan terbaik dan berkualiti menjadi taruhan terbesar untuk memenangi hati mereka.

“Pelajar-pelajar ini yang mendapatkan ijazah di universiti kita adalah duta dan sejauhmana kita memenangi hati dan minda mereka akan dibawa balik ke negara masing-masing,” jelas Shushilil Azam.

Tambahnya lagi  secara tidak langsung para pelajar ini akan kembali semula dan akan memberi sumbangan besar antara dua negara ataupun antara Kedah dan negara mereka dan membawa pelaburan pada masa akan datang. 

Shushilil Azam dalam kunjungan ringkasnya ke U-Assist turut diberi taklimat ringkas oleh Pegawai Psikologi U-Assist, Safinas Hanoum Omar Anwar. Beliau turut dibawa meninjau pengoperasian kaunter-kaunter perkhidmatan termasuk Kaunter Pengurusan Visa Pusat Hal Ehwal dan Kerjasama Antarabangsa (CIAC).

Hadir sama mengiringi kunjungan tersebut adalah Timbalan Pengarah CIAC, Mohd Khairy Mukhtaruddin.