All News

UUM ERATKAN HUBUNGAN DENGAN ALUMNI DI INDONESIA

 

indo 4

Oleh: Siti Fatimah Abdullah

Gambar oleh: CIAC

UUM ONLINE: Jakarta, Indonesia, 25 Julai 2022 – Bagi mengukuhkan hubungan antara alma mater dengan almuni, Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menyusun pelbagai program kolaborasi khususnya dengan Chapter Alumni di Indonesia.

Antara program kolaborasi yang disusun adalah Ucaptama Naib Canselor UUM dan Sesi Dialog Naib Canselor bersama Alumni Indonesia bagi menggalakkan diskusi dua hala serta mengukuhkan Chapter Alumni di Indonesia yang dianjurkan Pusat Alumni UUM.

Di samping itu, sesi penyerahan watikah pelantikan 7 orang “liaisons” alumni Indonesia turut diadakan beserta 10 anugerah kepada alumni yang hadir serta mempunyai polisi jawatan tertinggi di dalam organisasi.

Selain itu, turut dianjurkan ramah mesra antara Naib Canselor bersama Alumni UUM yang berlangsung di Hotel Royal Kuningan, Jakarta.

Sesi ‘Alumni Hi-Tea@Jakarta - UUM Potential in the Eyes of the World’ itu bertujuan menarik lebih ramai pelajar menyambung pengajian di peringkat pascasiswazah, sarjana muda serta program mobiliti dari Indonesia.

Menerusi acara ini, alumni digalakkan membawa calon yang berpotensi untuk melanjutkan pengajian di UUM bertujuan memperkenalkan universiti ini dengan lebih dekat selain ‘mini booth education fair’ dan ‘mini booth’ Pusat Alumni yang turut dibuka ketika majlis berlangsung.

UUM sentiasa mengalu-alukan kerjasama dengan universiti di Jakarta justeru hubungan antara alumni antarabangsa dengan UUM membantu membangunkan jaringan alumni yang berpotensi untuk menjadi pelajar UUM sekali gus mengeratkan hubungan Malaysia dan Indonesia.

Alumni luar negara juga dapat bertindak sebagai duta untuk mempromosikan UUM kepada negara luar di samping  mengukuhkan jaringan bersama alumni di peringkat antarabangsa.

Hampir 80 alumni termasuk Dr. Marzuki Alie, Mantan Ketua Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Republik Indonesia dan Fredia Yuzirwan, Pengarah Kewangan dan Sumber Manusia, PT Borneo Alumnina Indonesia hadir ke majlis tersebut.