All News

SEDIA HADAPI CABARAN MASA DEPAN ANGKAT AGENDA BINA NEGARA BANGSA

 

jkpa 24

Oleh: Nordiana Shafiee

Gambar oleh: Muhammad Shamsul Shafie

UUM ONLINE: Sebagai sebuah universiti awam semestinya sudah bersedia menghadapi cabaran masa depan dengan misi jelas untuk mengangkat agenda membina negara bangsa.

Naib Canselor, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, beliau yakin dan percaya dalam misi yang jelas dan nyata untuk mengangkat agenda tersebut agar kepimpinan di masa depan iaitu anak didik bersedia untuk menghadapi apa jua cabaran yang datang dalam mengangkat agenda-agenda besar negara.

Menurutnya, semua pihak akan berusaha bersama untuk mengangkat agenda pengantarabangsaan universiti awam dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) agar semua dapat mempersiapkan diri bukan sahaja dalam konteks pelajar tetapi sebagai universiti.

Katanya, sebuah universiti tidak boleh mampu kekal kompetitif sekiranya menutup pintu daripada bekerjasama dengan pihak luar.

“Kerjasama pertama yang harus diusahakan bersama adalah sesama kita di peringkat universiti. Kita adalah universiti awam yang perlu berusaha untuk memastikan majoriti yang datang belajar adalah 70 peratus anak-anak desa dari pelbagai latar belakang untuk melihat dunia sebenar di bawah kepimpinan kita.

“Kita yang berada di bawah cabang dalam konteks pengantarabangsaan ini perlu berusaha sedaya mungkin memastikan agar mereka mempunyai ruang, peluang dan kemampuan untuk merasai pendedahan di luar negara bagi menuntut ilmu.

“Hari ini kita kembali ke universiti kerana dipilih Allah untuk menjadi sebahagian daripada cerita mereka yang mampu untuk mengangkat anak bangsa untuk berdiri kukuh dan berjaya di masa hadapan,” katanya berucap pada Majlis Perasmian Mesyuarat Jawatankuasa Pengarah Antarabangsa (JKPA) Universiti Awam Bil. 24 di Bilik Mesyuarat Senat, petang tadi.

Haim Hilman berkata, apa jua kemungkinan kekuatan yang ada di universiti ini, UUM tidak akan sesekali berkata tidak sekiranya ingin bekerjasama dalam usaha mengangkat agenda besar negara kerana kekuatan universiti hari ini hanya perlu disatukan agar ia menjadi luar biasa dan boleh dibanggakan sebagai satu kumpulan kebangkitan universiti awam negara.

Di samping itu, beliau juga berharap semua universiti dapat berkongsi dan menyebar luas peluang dengan rakan antarabangsa yang ada agar dapat mengangkat agenda jauh lebih besar daripada apa yang difikirkan hanya untuk universiti sendiri.

Sementara itu, Pengerusi Mesyuarat JKPA, Prof. Dr. Yong Zulina Zubairi yang juga Penolong Naib Canselor (Jaringan Global), Universiti Malaya berkata, menguruskan Pusat Antarabangsa merupakan satu agenda mencabar terutama pada 2020 apabila negara dilanda pandemik.

Menurutnya, kini memasuki fasa peralihan ke endemik dan cabaran semakin getir melihat kepada perkembangan dunia semasa termasuk peperangan yang memberi kesan mendalam bagi pemilihan penempatan pelajar baru di Malaysia dan Eropah.

Katanya, beliau berharap jawatankuasa ini dapat mencari penyelesaian dan ahli JKPA akan terus berusaha dalam aspek pengantarabangsaan universiti.

Seramai 38 ahli JKPA menyertai mesyuarat yang berlangsung selama dua hari mulai hari ini. Antara pengisian mesyuarat adalah pembentangan laporan Special Interest Group (SIG) Vvisa dan kebajikan, pembentangan oleh Education Malaysia Global Services (EMGS), Education Malaysia Australia (EMA), sesi ceramah, lawatan ke sekitar kampus dan bengkel.