All News

UUM BAKAL TERIMA LEBIH RAMAI PELAJAR DARI ZIMBABWE

 zimbabwe

Oleh: Siti Fatimah Abdullah  

Gambar oleh: CIAC

UUM ONLINE: Kementerian Pendidikan Tinggi Zimbabwe berhasrat untuk menghantar pelajar tajaan mereka ke Universiti Utara Malaysia (UUM) sebagai destinasi pendidikan pilihan.

Hasrat tersebut disuarakan oleh Pengarah Pentadbiran Biasiswa, Zimbabwe, William Taringa ketika mengadakan kunjungan ke Pusat Hal Ehwal dan Kerjasama Antarabangsa (CIAC), baru-baru ini.

Kedatangan delegasi itu ke UUM telah disambut Pengarah CIAC, Prof. Madya Dr. Arpah Abu Bakar.

Pada pertemuan itu, William berkata, pihaknya bertanggungjawab dalam menyediakan tajaan kepada pelajar pintar Zimbabwe dari kalangan keluarga berpendapatan rendah.

Beliau sedang meninjau institusi di Malaysia yang bersedia bersama-sama menyediakan penajaan kepada pelajar ini bagi membuka peluang kepada lebih ramai pelajar untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara. William menyatakan hasrat untuk menghantar sehingga 50 pelajar ke UUM.

"Saya sangat berpuas hati dengan prestasi UUM yang dikenali sehingga ke persada dunia, selain menerima maklum balas daripada 15 pelajar Zimbabwe yang sedang mengikuti pengajian di UUM tentang prestasi universiti ini.

“Selain itu, Kementerian ini turut berhasrat untuk menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) bagi merealisasikan inisiatif tersebut dalam masa terdekat,” ujarnya yang berkunjung ke UUM dalam rangka lawatan seminggu ke Malaysia.

Beliau optimis hubungan baik antara UUM dengan negara Zimbabwe sebelum ini telah memberi banyak manfaat kepada rakyat mereka dan berharap hubungan yang terjalin ini akan berterusan pada masa akan datang.

Sementara itu, Arpah berkata, beliau mewakili UUM sangat berbesar hati menerima kunjungan delegasi tersebut dalam usaha merapatkan lagi hubungan antara kedua pihak.

Menurutnya, beliau juga mengalu-alukan kerajaan Zimbabwe untuk menghantar lebih ramai pelajar mereka ke UUM dan pada masa sama dapat membantu melonjakkan nama UUM di peringkat antarabangsa.

Turut serta dalam lawatan ini ialah Timbalan Pengarah Pentadbiran Biasiswa, James Mubonderi dan Pegawai Pentadbiran Biasiswa, Tendai Maronga serta turut disertai oleh pegawai-pegawai kanan CIAC.